KUANTAN: Kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dianggap titik permulaan buat pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) untuk mengubah nasib keluarga.
Bagi Muhammad Luqman Mohammad Aqsa, 18, dia bertekad belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh keputusan cemerlang itu selepas mendengar keluhan bapanya, Mohammad Aqsa Abd. Wahab, tentang masalah kewangan yang dihadapi.
“Ketika itu kereta ayah rosak dan saya datang mengambilnya dengan motosikal. Ketika membonceng motosikal bersama ayah, saya dengar dia mengeluh tidak cukup duit untuk baiki kereta.
“Detik itu sangat menyentuh perasaan saya sekali gus tekad untuk berusaha mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman SPM 2026 di MTNP di sini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, bapanya bekerja sebagai pembantu kantin sekolah manakala ibunya, Norkamiza Baharuddin pula suri rumah.
“Walaupun kami bukan orang senang tetapi saya sering ingatkan diri sendiri bahawa masih ada orang lain yang lagi susah. Selain mahu mengubah nasib keluarga, saya bercita-cita untuk membantu orang lain yang senasib dengan saya,” katanya.
Seorang lagi pelajar MTNP, Nur Fatin Syuhada Ahmad Najami yang memperoleh keputusan 10A berkata, dia tidak pernah menyangka mendapat keputusan cemerlang itu kerana sebelum itu hanya memperoleh keputusan 6A pada peringkat percubaan.
“Sekarang ini saya bercadang untuk melanjutkan pengajian di universiti luar negara dan memohon tajaan terlebih dahulu,” katanya.
MUHAMMAD Luqman Mohammad Aqsa (tengah) dicium kedua ibu dan bapanya selepas memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Kuantan, Pahang.










