MUAR: Kapal kedua Malaysia yang melepasi Selat Hormuz dijangka tiba di negara ini selewat-lewatnya hujung minggu ini.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketibaan kapal tersebut bakal memperkukuhkan lagi jaminan bekalan minyak mentah negara.
Menurut beliau, kapal pertama iaitu ‘Ocean Thunder’ yang membawa sejuta tong minyak mentah telah tiba pada Jumaat lalu.
“Ketibaan kapal ini menjamin stok bekalan minyak mentah yang akan diproses di beberapa fasiliti loji penapisan dalam negara kita.
“Ini akan memastikan bekalan terutama buat Petronas sehingga hujung bulan Jun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sistem Budi MadaniI RON95 (BUDI95) dan diesel di dua stesen minyak di Pagoh, di sini hari ini.
Pada 17 April lalu, kapal ‘Ocean Thunder’ yang meninggalkan pelabuhan Pelabuhan Al Basrah, Iraq pada 3 Mac tiba di jeti pelabuhan Pengerang, Kota Tinggi pada pukul 7.37 malam.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memberitahu pihaknya maklum dengan permintaan beberapa golongan yang mahu kuota subsidi BUDI95 sebanyak 300 liter dikembalikan berbanding kuota 200 liter ketika ini.
“Pelarasan kuota kepada 200 liter sebulan ini hanya bersifat sementara sehingga bekalan bahan mentah minyak negara stabil. Perkara berkaitan bekalan bahan api tempatan dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) esok,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu bekalan minyak di kesemua 639 stesen minyak seluruh negeri ini stabil tanpa sebarang gangguan atau kehabisan stok, setakat ini. – UTUSAN










