PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan menyemak semula hukuman sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenakan tindakan lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hukuman sedia ada di bawah Seksyen 44 dan Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 masih belum cukup untuk memberi pengajaran kepada pesalah walaupun telah dipinda dan diperketatkan sebelum ini.
Katanya, langkah ini bagi memberi kesedaran serta mengelak lebih banyak kemalangan maut berlaku di negara ini.
Justeru, katanya, JPJ telah memulakan semakan semula ke atas Seksyen 44 dan Seksyen 45 APJ 1987 selaras dengan arahan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah terlibat.
“Kita akan teliti dan kaji terlebih dahulu bersama pasukan perundangan JPJ sebelum dibawa kepada Menteri dan Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ Bulan Mac 2026 di sini hari ini.
Pada 30 Mac lalu, media melaporkan, MOT sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap akta berkenaan bagi mewajibkan pesalah memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain menjalani hukuman penjara yang dikenakan.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, pindaan terhadap Seksyen 44 dan 45 telah dibuat sebelum ini sekitar tahun 2021 dan 2022 dengan hukuman ditingkatkan sehingga penjara maksimum 15 tahun serta denda sehingga RM500,000.
Media sebelum ini melaporkan, seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, pada 29 Mac lalu. – UTUSAN










