KOTA BHARU: Sebanyak 27 buah kenderaan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis melalui Ops Bersepadu dalam membendung kegiatan rempit di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini kelmarin.
Operasi selama 10 jam bermula pukul 4 petang hingga 2 pagi itu menyaksikan 261 notis kesalahan dikeluarkan oleh JPJ serta Polis melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri.
Pengarah JPJ negeri, Mohd. Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 16 buah motosikal termasuk sebuah kereta telah disita oleh anggotanya.
Katanya, bagi tindakan penguatkuasaan oleh pihak polis pula sebanyak 11 buah kenderaan disita melibatkan 10 motosikal dan sebuah kereta.
“Seramai 12 individu turut menjalani saringan air kencing dan kesemuanya didapati negatif,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, sepanjang operasi itu JPJ telah 80 notis kepada pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk pelesenan pemandu dan kenderaan serta pengubahsuaian teknikal yang tidak mengikut spesifikasi.
Katanya, polis pula merekodkan 91 kes.
“Antara kesalahan paling ketara ialah membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang dikenakan 13 saman atas kesalahan pengubahsuaian ekstrem selain tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang telah tamat tempoh sejak 2018.
“Selain itu, sebuah kereta jenis Honda turut disita kerana didapati menukar enjin tanpa kebenaran pihak berkuasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari berkata, operasi yang turut melibatkan elemen penyamaran dan pemantauan ini dilaksanakan susulan kegiatan lumba haram serta aksi menduga kelajuan di kawasan berkenaan yang semakin mendapat perhatian.
Katanya, pihak berkuasa menegaskan operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pematuhan undang-undang dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya.-UTUSAN










