JOHOR BAHRU: Kementerian Kerja Raya komited menyiapkan sejumlah 91 kelas tambahan melibatkan 70 buah sekolah seluruh negara bagi mengatasi isu kesesakan bilik darjah.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pembinaan dalam tempoh enam bulan tersebut akan menggunapakai sistem bangunan berindustri modular (IBS) melibatkan kos kira-kira RM80 juta.
Katanya, projek-projek tersebut dilaksana dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dibawah inisiatif Quick Win.
“Antara projek yang sedang diberi keutamaan JKR (Jabatan Kerja Raya) ketika ini adalah pembinaan 91 bilik darjah tambahan di 70 buah sekolah seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Walaupun ini melibatkan projek kecil tetapi ia berkepentingan tinggi kerana akan mengatasi isu kesesakan bilik darjah khususnya di sekolah-sekolah kawasan bandar yang dihuni ramai penduduk,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja rasmi ke JKR Johor Bahru, di sini hari ini.
Tambah Ahmad, sebanyak 12 projek Quick Win tersebut dilaksanakan di sekolah-sekolah sekitar daerah ini susulan peningkatan jumlah kepadatan penduduk sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang berusaha membantu semua sektor dalam negara susulan isu kenaikan harga barangan akibat konflik di Asia Barat tidak hanya melibatkan industri pembinaan semata-mata.
“Kementerian telah umumkan lima langkah yang akan diambil bagi mengatasi kenaikan kos sektor pembinaan termasuklah pelan tindakan segera, percepatkan pembayaran projek serta mengurangkan skop kerja berbanding kos projek.
“Sebagai contoh, peruntukan RM500,000 sebelum ini digunakan bagi pembinaan 1,000 meter jalan, namun kita akan kaji kesesuaian untuk mengurangkan jarak itu kepada 900 meter bagi peruntukan RM500,000,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berhubung dakwaan seramai 4,100 kontraktor yang sedang menjalankan projek kerajaan di seluruh negara berdepan risiko gulung tikar. – UTUSAN










