Jairo keluar hospital, JDT sahkan kecederaan stabil

Jairo keluar hospital, JDT sahkan kecederaan stabil

JAIRO Da Silva dibenarkan keluar hospital selepas pihak hospital membuat pemeriksaan lanjut terhadap pemain berusia 34 tahun itu-IHSAN FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva kini berada dalam keadaan stabil selepas dibenarkan keluar dari hospital, susulan kecederaan serius ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Al-Ahli di Jeddah, semalam.

Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini dikejarkan ke Kompleks Perubatan Raja Abdullah selepas terlibat dalam insiden ngeri apabila terkena sepakan pemain pertahanan Al-Ahli, Ali Majrashi ketika perebutan bola, sekali gus memerlukan rawatan kecemasan di padang sebelum dibawa ke hospital.

Keadaan Jairo sempat mencetuskan kebimbangan apabila beliau menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan stabil beberapa jam kemudian.

Dalam perkembangan terkini, Jairo memaklumkan beliau berada dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur perubatan termasuk menerima jahitan di bahagian bibir yang koyak.

“Saya dalam keadaan sangat baik sekarang. Apa yang saya rasa sebelum ini seolah-olah saya tidak mempunyai bahagian ini,” katanya menerusi video yang tular di platform X, sambil menunjukkan kesan kecederaan pada bibirnya.

Sebelum itu, Jairo turut menjalani imbasan X-Ray dan CT scan sebagai langkah berjaga-jaga sebelum dibenarkan keluar hospital oleh pihak perubatan.

Kelab turut mengesahkan pemain kelahiran Brazil itu sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan lanjut dan kini berada dalam proses pemulihan.

JDT dalam kenyataan turut merakamkan harapan agar pemain import mereka itu segera pulih sepenuhnya selepas insiden yang menjejaskan pertembungan penting di pentas Asia tersebut.

Untuk rekod, perjuangan JDT dalam ACLE musim ini berakhir selepas tewas 2-1 kepada Al-Ahli di peringkat suku akhir, dengan kelab Arab Saudi itu bakal berdepan Vissel Kobe di separuh akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN