IPT jangan sampai jadi zon kebal kritikan - MCW

IPT jangan sampai jadi zon kebal kritikan – MCW

INFOGRAFIK oleh SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengambil maklum kenyataan Naib Canselor sebuah IPTA dalam sebuah akhbar tempatan yang mempertahankan institusi pengajian tinggi (IPT) daripada label “lubuk rasuah”.

MCW bersetuju bahawa tidak semua kelemahan tadbir urus boleh disamakan dengan rasuah dan tidak adil untuk menghukum keseluruhan sistem pendidikan hanya berdasarkan beberapa kes terpencil.

Namun, dalam masa yang sama, MCW ingin menegaskan satu hakikat yang lebih membimbangkan tentang wujudnya sindrom penafian (denial syndrome) yang semakin menebal dalam kalangan segelintir ahli akademik dan pentadbir IPT apabila isu integriti dibangkitkan.

Hakikatnya, isu ini bukan sekadar persepsi. Tangkapan terbaharu oleh SPRM semalam melibatkan pensyarah IPTS dalam kes rasuah projek penyelidikan membuktikan bahawa risiko itu adalah nyata, bukan retorik. Dalam sektor yang mengurus dana penyelidikan, geran, perolehan, kenaikan pangkat dan kuasa akademik, ruang untuk penyalahgunaan kuasa sentiasa wujud jika tidak dikawal dengan ketat.

MCW tidak menuduh semua IPT bermasalah. Tetapi MCW juga tidak akan menerima naratif bahawa IPT adalah hampir kebal daripada risiko rasuah hanya kerana wujudnya program integriti, kursus, ikrar dan kempen kesedaran. Dalam banyak kes, pendekatan ini gagal menjawab persoalan sebenar:

Adakah sistem itu telus, diaudit secara bebas, dan benar-benar bertindak apabila berlaku pelanggaran?

Lebih membimbangkan apabila setiap kali isu ini dibangkitkan, respons yang muncul ialah mempertahankan imej institusi, bukannya membuka ruang kepada semakan kritikal. Sikap defensif ini bukan sahaja tidak membantu, malah berpotensi menutup kelemahan sistem yang lebih besar.

MCW ingin menegaskan bahawa sektor pendidikan tinggi adalah sektor berisiko tinggi dari sudut integriti kerana melibatkan pengurusan dana awam dan geran penyelidikan, proses perolehan dan kontrak, konflik kepentingan dalam penyeliaan akademik, serta kuasa institusi dalam menentukan kerjaya dan masa depan individu.

Dalam konteks ini, kritikan terhadap IPT tidak seharusnya dilihat sebagai serangan tetapi sebagai mekanisme semak dan imbangdalam sebuah negara yang serius memerangi rasuah.

MCW mengiktiraf usaha universiti yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif integriti. Namun, ukuran sebenar bukanlah pada bilangan program atau slogan tetapi pada tahap ketelusan dalam pengurusan, keberkesanan audit dalaman dan luaran, ketegasan tindakan disiplin, dan perlindungan sebenar kepada pemberi maklumat.

IPT sepatutnya menjadi benteng ilmu dan akhlak, bukan sekadar institusi yang cepat mempertahankan reputasi apabila dikritik tetapi lambat membaiki kelemahan sistem.

Kesimpulannya, MCW berpandangan bahawa IPT tidak wajar dilabel secara pukal sebagai “lubuk rasuah”. Namun, lebih berbahaya daripada label itu ialah budaya penafian yang menghalang pembaikan sebenar. Dalam perjuangan membina negara berintegriti, apa yang diperlukan bukan sekadar mempertahankan imej tetapi keberanian untuk berdepan realiti.

JAIS ABDUL KARIM ialah Presiden MCW

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN