Ingat pengorbanan ibu bapa, anak buruh raih 9A SPM

Ingat pengorbanan ibu bapa, anak buruh raih 9A SPM

NURUL Aisyah Sahidrasul (kanan) mengabadikan gambar kenangan bersama ibunya selepas mengambil keputusan SPM di SMK Kinabutan II, Tawau. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengingati pengorbanan ibu bapa setiap kali berdepan tekanan belajar menjadi pembakar semangat bagi Nurul Aisyah Sahidrasul hingga berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan II Tawau itu berkata, dia akan mengenangkan susah payah ibu bapanya yang banyak berkorban demi memastikan dirinya dan adik-beradik yang lain terus bersekolah.

“Apabila rasa penat atau susah, ia mengingatkan semula pengorbanan ibu bapa. Itu yang buat saya terus kuat dan mahu belajar bersungguh-sungguh.

“Apabila rasa ingin berputus asa, saya akan cuba cari semangat semula untuk mengubah kehidupan keluarga kami,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, kejayaan diraih bukan datang dengan mudah, sebaliknya hasil disiplin diri termasuk rutin bangun seawal pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.

Nurul Aisyah berkata, dia tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar dan hanya bergantung kepada pembelajaran di sekolah, kelas tambahan serta usaha sendiri.

“Waktu antara pukul 3 hingga 5 pagi dimanfaatkan sepenuhnya untuk belajar kerana suasananya lebih tenang selain memudahkan saya memberi tumpuan.

“Selain belajar secara individu, saya juga aktif mengikuti sesi pembelajaran berkumpulan bersama rakan-rakan bagi memperkukuh kefahaman terhadap subjek dipelajari,” katanya.

Menurutnya lagi, aspek rohani juga tidak pernah diabaikan apabila sentiasa menjaga solat selain tidak putus memohon doa daripada ibu bapanya.

Hasil dorongan berterusan daripada guru yang yakin dengan kemampuannya menjadi pemangkin untuk dia menggandakan usaha sehingga berjaya mencapai 9A. “Saya anak kepada seorang buruh dan ibu suri rumah, latar belakang keluarga bukan alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya menjadi pendorong untuk saya mengubah nasib keluarga.

“Saya juga pernah melalui detik mencabar apabila hanya memperoleh 6A dalam peperiksaan percubaan SPM, namun keadaan itu tidak mematahkan semangat saya untuk bangkit.

“Guru-guru tidak pernah putus asa dengan saya. Mereka yakin saya boleh buat lebih baik, jadi saya cuba buktikan,” katanya.

Dia turut berharap kejayaannya itu dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain daripada keluarga sederhana.

“Saya mahu buktikan semua orang ada peluang untuk berjaya asalkan rajin, ada usaha dan tidak mudah putus asa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN