Ingat pengorbanan ibu bapa, anak buruh raih 9A SPM

75 Murid Kolej Yayasan Saad Melaka raih semua A dalam SPM 2025

Pengurusan Kolej Yayasan Saad Melaka diketuai Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola, Prof, Dr. Mohd. Azizan Mohd Noor (dua kanan) dan Pengetua, Tan Cheh Li (kanan) ; dan Pengurus Kurikulum, Shaharudin Harun bersama (kiri) dan dua orang pelajar yang memperoleh semua A+ iaitu (dari kiri) Azry Izzarif Noorimatul Fitri , dan Sophea Zahra Md. Hamsan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 75 orang pelajar Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, dua pelajar berjaya meraih keputusan cemerlang tertinggi dengan semua A+, manakala 83 lagi turut mencapai keputusan cemerlang.

Pencapaian tersebut sekali gus meletakkan KYSM sebagai antara sekolah berprestasi tinggi dengan gred purata sekolah (GPS) sebanyak 1.46.

Keputusan SPM 2025 ini mencerminkan dedikasi, ketekunan dan kesungguhan pelajar Tingkatan 5 dalam mencapai kecemerlangan akademik. Mereka merupakan kumpulan pelajar yang menempuh cabaran pembelajaran selepas negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun 2021, serta kohort pertama yang tidak menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) susulan pemansuhan peperiksaan tersebut pada tahun 2020.

Selain kecemerlangan akademik, KYSM turut berbangga dengan pencapaian pasukan ragbi sekolah, apabila seramai 16 orang pemain turut memperoleh keputusan semua A dalam SPM.

Pencapaian tersebut selari dengan visi dan misi kolej dalam melahirkan pelajar yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam bidang sukan, sahsiah, kepimpinan, muzik, penguasaan Bahasa Inggeris serta pendedahan di peringkat antarabangsa.

Kejayaan itu merupakan hasil daripada pendidikan holistik yang disampaikan oleh barisan guru yang berdedikasi, persekitaran pembelajaran yang kondusif, serta pelbagai program sokongan yang komprehensif.

Usaha berterusan itu membolehkan kolej berkenaa melahirkan pelajar yang berpotensi tinggi untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi terkemuka, sama ada di dalam mahupun luar negara, termasuk melalui tajaan biasiswa.

KYSM merupakan sekolah menengah swasta terkemuka yang menawarkan Kurikulum Kebangsaan Malaysia yang digabungkan dengan Kurikulum Cambridge (IGCSE).

Pendekatannya yang holistik turut merangkumi program nilai tambah seperti pengaturcaraan, kecerdasan buatan (AI), pendidikan muzik, seni persembahan, Bahasa Mandarin serta program bimbingan.

Sejak ditubuhkan pada 1995, sekolah berkenaan terus melahirkan pelajar cemerlang pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN