SUNGAI PETANI: Seorang guru lelaki ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari bumbung sebuah hotel di Taman Sejati, di sini hari ini.
Mangsa berumur 51 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan di laluan belakang hotel terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat lelaki itu pada pukul 9.10 pagi.
“Mangsa adalah penduduk Bandar Laguna Merbok dan dilihat berlegar-legar di kawasan hotel itu sejak awal pagi tadi. Siasatan juga mendapati dia tidak mendaftar masuk sebagai tetamu di hotel berkenaan,” katanya.
Menurut Hanyan, siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kejadian dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN







