MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek meluahkan rasa terharu dan kagum dengan keperibadian serta kecemerlangan warga SMK Sultanah Hajah Kalsom ketika menghadiri program bersama pelajar di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Menurut beliau, sekolah itu bukan sahaja menunjukkan prestasi akademik yang sangat baik, malah penglibatan pelajar dalam bidang sukan juga amat aktif khususnya dalam sukan ragbi yang menjadi kebanggaan sekolah tersebut.
Namun katanya, perkara yang paling menyentuh hatinya ialah akhlak serta budi pekerti para pelajar yang disifatkan sangat tinggi dan penuh kesusilaan sehingga membuatkan beliau benar-benar tersentuh.
“Sekolah ini sangat mengagumkan saya. Prestasi akademiknya cemerlang, pelibatan sukan anak-anak juga sangat aktif, tetapi yang paling membuat saya ‘cair’ ialah akhlak mereka,” katanya.
Beliau berkata, keperibadian pelajar yang baik itu pastinya lahir daripada usaha gigih barisan pentadbir dan guru yang mendidik dengan menekankan pembudayaan akhlak serta nilai murni dalam kehidupan seharian di sekolah.
Katanya, dalam Rancangan Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan mempunyai hasrat besar untuk melihat setiap sekolah tanpa mengira latar belakang mampu menjadi sekolah inspirasi yang mengangkat martabat murid.
Sehubungan itu, beliau merakamkan tahniah kepada pengetua serta seluruh warga pendidik SMK Sultanah Hajah Kalsom yang berjaya membentuk generasi pelajar berakhlak tinggi dan cemerlang dalam pendidikan sehingga meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya. –UTUSAN









