Ekuinas pergiat ekonomi kreatif menerusi program Iltizam Seni - Utusan Malaysia

Ekuinas pergiat ekonomi kreatif menerusi program Iltizam Seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mempergiat ekonomi kreatif dengan memperkasa artis muda bumiputera menerusi program Iltizam Seni Kitaran 3.

Inisiatif itu membuktikan seni juga sebuah industri yang mampu mencipta nilai ekonomi dan menjana pendapatan yang utuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, program residensi selama lima bulan itu bermatlamat untuk mendedahkan dan mengasah kemahiran keusahawanan artis.

Menurutnya, gabungan bimbingan mentor dengan ilmu perniagaan serta kewangan dapat melengkapkan para artis untuk menterjemahkan kreativiti mereka bagi mencipta nilai dalam jangka panjang.

“Kerjaya kreatif bukan sahaja berlandaskan bakat tetapi juga daya ketahanan dan kebolehsuaian.

“Golongan artis perlu tahu cara memasarkan karya, membina jaringan pasaran serta menerapkan minda keusahawanan untuk berjaya pada hari ini,” katanya pada majlis pelancaran pameran Alir di sini hari ini.

Aliff Omar berkata, keberkesanan ekonomi program ini terbukti berjaya menjana pendapatan melebihi RM180,000 menerusi jualan karya pada 2023.

“Semua 22 buah karya seni di pameran ini ditawarkan untuk jualan sekaligus membuka ruang kepada artis muda untuk terus menjana pendapatan secara langsung.

“Karya seni ini inspirasi hasil sentuhan empat artis muda bumiputera iaitu Aliff Danial, Ammar Idris, Mairul Malek dan Khairanee Iro.

“Pameran ini mengetengahkan bakat seni kontemporari yang merangkumi pelbagai tema dan eksperimentasi medium berbeza,” katanya.

Pameran Alir kini dibuka kepada orang ramai secara percuma di Galeri SARENG, Kuala Lumpur setiap hari kecuali Ahad dan akan berlangsung sehingga 16 Mei 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN