DUN Perak: Susunan tempat duduk ADUN tidak berubah - Utusan Malaysia

DUN Perak: Susunan tempat duduk ADUN tidak berubah

MOHAMMAD Zahir Abdul Khalid (tengah) dalam sidang akhbar mengenai sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 yang bermula Selasa ini tidak melibatkan perubahan kedudukan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menukar tempat duduk ADUN.

“Sehingga kini saya tidak menerima sebarang permohonan untuk menukar kedudukan tempat duduk ADUN. Oleh itu, susunan tempat duduk akan diteruskan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan antara 17 pimpinan parti itu di Perak yang dikenakan tindakan pemecatan oleh Lembaga Disiplin kerana melanggar Perlembagaan parti.

Mohammad Zahir bagaimana pun tidak menolak jika ada sebarang perubahan sekiranya terdapat permohonan, namun ia tertakluk kepada kesesuaian serta kekangan teknikal di dalam Dewan.

Beliau berkata, perubahan tempat duduk pada saat akhir agak sukar berikutan ia melibatkan sistem mikrofon dan rakaman video yang telah disusun mengikut kedudukan tempat duduk sedia ada.

“Sekiranya ada permohonan, kita akan teliti dan pertimbangkan bagaimanapun, perubahan pada saat akhir agak mencabar kerana melibatkan sistem teknikal yang sensitif serta telah digunakan sekian lama,” katanya.

Beliau berkata persidangan DUN Perak akan bermula pada 14 April sehingga 21 April selama enam hari dan akan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, sepanjang persidangan itu, sesi soalan lisan akan diadakan selama satu jam setiap hari selain pembentangan usul menjunjung kasih atas titah diraja serta perbahasan melibatkan semua ADUN.

“Beberapa usul turut akan dibawa termasuk cadangan pindaan Perintah Tetap Dewan Negeri serta penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas melibatkan empat fokus utama iaitu masyarakat menua, kemiskinan bandar, bandar pintar dan sekuriti makanan.

“Rang Undang-Undang Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian 2026) turut dijadualkan untuk dibentangkan pada hari terakhir persidangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN