KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang meneliti cadangan menaik taraf hierarki Institusi Mahkamah Syariah daripada tiga kepada empat peringkat menerusi penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai badan kehakiman tertinggi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, langkah itu diambil bagi memperkukuh sistem keadilan syariah secara lebih menyeluruh, berperingkat dan selaras dengan keperluan semasa.
Katanya, kajian terperinci dilaksanakan oleh Bahagian Undang-Undang Negeri Kelantan (BAHUU) dan mendapat persetujuan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri.
“Penilaian dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keperluan perundangan, keupayaan institusi, peningkatan kes serta amalan terbaik negeri lain,” katanya ketika menjawab soalan Zameri Mat Nawang (Pas-Jelawat) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata, cadangan tersebut didorong keperluan memastikan kesamarataan dalam hak rayuan.
Katanya, ketika ini keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa asal hanya mempunyai satu peluang rayuan, berbanding kes dari Mahkamah Rendah Syariah yang mempunyai dua peringkat rayuan.
“Keadaan ini mewujudkan ketidakseimbangan dari sudut peluang mendapatkan keadilan, sedangkan Islam menuntut keadilan yang menyeluruh tanpa membezakan pihak-pihak berlitigasi,” ujarnya.
Mohd. Asri berkata, peningkatan beban kes turut menjadi faktor penting, khususnya selepas pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 (EKJS 2019) yang menyaksikan pertambahan ketara pendaftaran dan perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Syariah.
“Perkembangan perundangan semasa seperti penggubalan enakmen baharu berkaitan hibah dan undang-undang keluarga Islam dijangka meningkatkan lagi kompleksiti serta jumlah kes pada masa hadapan.
“Pengalaman negeri lain seperti Perlis, Kedah, Pahang dan Terengganu yang telah atau sedang melaksanakan sistem empat peringkat turut menunjukkan penstrukturan semula ini adalah realistik dan berasaskan keperluan semasa,” ujarnya. – UTUSAN











