SUNGAI PETANI: Dua penuntut sebuah institut pendidikan guru (IPG) ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar lelaki dan perempuan berusia 20-an dipercayai dilanda ombak ketika melakukan aktiviti tersebut bersama 33 lagi rakan mereka.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kehilangan mangsa kira-kira sejam kemudian.
“Anggota dari Balai Polis Tanjung Dawai bersama anggota Balai Polis Kota Kuala Muda digerakkan ke lokasi sebelum melancarkan gerakan mencari bersama nelayan tempatan.
“Mayat kedua-dua pelajar itu ditemui kira-kira pukul 7.30 malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. -UTUSAN









