PUTRAJAYA: Dua pensyarah disiasat berkaitan salah laku membabitkan projek penyelidikan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk menerima wang berjumlah RM5 juta yang dipindahkan ke akaun bank peribadi milik mereka.
Menurut sumber dalaman, nilai projek-projek penyelidikan yang terlibat ialah kira-kira RM13 juta.
Turut disiasat seorang pegawai syarikat berkaitan minyak dan seorang pengarah syarikat kejuruteraan yang meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek penyelidikan serta penyelewengan dana penyelidikan di IPTS itu.
“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara tahun 2019 hingga 2025 yang mana pegawai dan pengarah syarikat menjadi proksi kepada kedua-dua pensyarah IPTS tersebut menerima rasuah.
“Syarikat-syarikat terlibat dipercayai milik saudara salah seorang pensyarah terbabit dan juga kenalan.
“Kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut dan kedua-dua pensyarah yang telah berkhidmat selama tiga dan 11 tahun itu telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sumber itu berkata, siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan itu telah bermula sejak Disember 2025.
Terdahulu, SPRM menahan reman empat individu masing-masing dua orang pensyarah, seorang pegawai syarikat berkaitan minyak serta seorang pengarah syarikat kejuruteraan untuk membantu siasatan salah laku dan penyelewengan dana.
Siasatan membabitkan dakwaan meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM5 juta daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu firma terbabit mendapatkan projek-projek penyelidikan serta penyelewengan dana penyelidikan di institusi itu.
Perintah reman empat hari sehingga 11 April 2026 terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Majistret Punitha a/p Sivaraji selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi.
Kesemua suspek – tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an – telah ditahan antara kira-kira pukul 2 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Sumber SPRM berkata, agensi itu turut membekukan sebanyak 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta yang terdiri daripada 32 akaun individu dan 38 akaun syarikat selain menyita tujuh kenderaan bernilai kira-kira RM1.2 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan siasatan itu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










