KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai syarikat pertama dalam industri pertahanan negara yang berjaya dianugerahkan Sijil Pematuhan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).
Ketua Pegawai Eksekutif Deftech, Mohammad Shanaz Mohammad Shees berkata, pensijilan dari CISM itu memberikan jaminan bahawa syarikat melaksanakan langkah-langkah pematuhan yang sejajar dengan standard integriti yang diiktiraf.
Menurutnya, tadbir urus yang kukuh adalah pemboleh daya utama bagi pertumbuhan mampan dan perkongsian jangka panjang.
“Tujuan salah satu tujuan kami mendapatkan sijil pematuhan ini adalah untuk memberitahu semua orang bahawa mereka perlu yakin untuk berurusan dengan Deftech.
“Ini membuktikan bahawa syarikat kami sangat fokus terhadap integriti dan menekankan etika kelakuan serta kebertanggungjawaban organisasi,” katanya ketika ditemui di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Turut hadir menyampaikan sijil tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim,
Pada masa sama, Noridah berkata, bahawa pencapaian Deftech ini adalah satu pengiktirafan penting terhadap kerangka integriti korporat mereka yang mantap dan berkesan.
“Sebagai satu-satunya syarikat berkaitan pertahanan Malaysia yang mencapai pensijilan ini, Deftech menetapkan penanda aras baharu untuk standard integriti di dalam industri.
“Pensijilan perintis ini adalah susulan daripada penilaian bebas dan berstruktur yang telah dijalankan sepanjang tahun 2025, di mana Deftech secara sukarela menyerahkan dasar serta mekanisme kawalan dalamannya untuk dinilai di bawah kerangka CISM,”katanya. – UTUSAN











