PETALING JAYA: Fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka beransur pulih berikutan fasa peralihan monsun yang membawa peningkatan hujan di seluruh negara.
Fasa peralihan monsun yang bermula 29 Mac itu dijangka membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat, khususnya pada waktu petang hingga awal malam.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keadaan cuaca lembap yang bakal berlaku bukan sahaja dapat meredakan suhu panas, malah membantu meningkatkan semula paras air empangan di kawasan yang terjejas sebelum ini.
“Berdasarkan pemantauan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), terdapat pengurangan ketara kawasan yang merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius.
“Buat masa ini, hanya lapan kawasan di Semenanjung Malaysia masih berada pada Tahap 1 atau Status Berjaga-jaga, dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
“Ini menunjukkan keadaan cuaca panas ekstrem semakin beransur pulih selari dengan perubahan fasa monsun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata, sebagai langkah proaktif bagi memastikan simpanan air di empangan kekal stabil, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama teknikal MetMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dari 6 hingga 9 April ini.
Katanya, operasi itu akan memfokuskan negeri di utara Semenanjung serta Johor bagi meningkatkan paras air empangan demi keperluan rakyat.
“Saya menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca yang mendadak serta mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi MetMalaysia.
“Kerajaan komited untuk terus memantau keadaan ini bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan kelestarian sumber air negara sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN










