Cemerlang SPM 2025

Cemerlang SPM 2025

Dr. Mohd Azam Ahmad (tengah) menunjukkan laporan analisis dalam sidang akhbar pengumuman keputusan Peperiksaan SPM 2025 di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Debaran lebih 400,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 terjawab apabila mereka menerima keputusan masing-masing semalam. Ia sejajar dengan pengumuman rasmi keputusan peperiksaan tersebut yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad.

Suasana sedih, gembira dan luahan penuh emosi dikongsi bersama antara pelajar atau calon, guru dan ibu bapa seusai calon menerima kertas keputusan di lokasi pengumuman sama ada sekolah, dan dewan sekolah atau di mana mana lokasi pengumuman dibuat.

 

 

Berdasarkan pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) bagi SPM 2025 menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat nilai 4.42 mata iaitu terbaik dalam tempoh lima tahun.

Dr. Mohd. Azam berkata, nilai GPK itu lebih mengecil yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding SPM 2024 iaitu 4.49 mata iaitu mengecil sebanyak 0.07 mata.

“Prestasi GPK SPM 2025 adalah terbaik sejak 2021. Ini pencapaian terbaik sejak lima tahun berdasarkan Kurikulum Sekolah Menengah (KSSM) diperkenal pada tahun 2021.

“GPK calon mengikut lokaliti turut menunjukkan peningkatan apabila calon di bandar merekodkan sebanyak 4.40 pada tahun 2025 berbanding 4.47 pada 2024.

“Sementara itu, nilai GPK luar bandar merekodkan angka 4.81 pada tahun 2025 berbanding 4.92 pada 2024,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman SPM 2025 di Kementerian Pendidikan Putrajaya semalam.

Mohd. Azam berkata, sebanyak 366,435 calon atau 94.29 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 calon pada 2024.

 

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10,502 calon atau 0.28 peratus. Tahniah untuk semua usaha warga guru yang dizahirkan dalam keputusan SPM,” katanya.

Menurutnya, analisis keputusan SPM 2025 menunjukkan pencapaian calon yang memberangsangkan, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti dalam menyokong aspirasi Malaysia Madani.

 

“Keputusan ini bukan sahaja memaklumkan pencapaian peperiksaan, malah mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan memastikan sistem pentaksiran negara dilaksanakan secara berintegriti, telus, diyakini selaras Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035,” katanya.

Mohd. Azam berkata, daripada keseluruhan 413,299 calon berdaftar, sebanyak 395,740 orang merupakan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

“Kehadiran calon sekolah Kementerian Pendidikan adalah sebanyak 348,400 daripada 353,432 manakala bilangan calon tidak hadir semua mata pelajaran ialah 5,032 berbanding 6,246 pada 2024.

“Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,214 calon yang menunjukkan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi dilaksanakan kementerian dan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

 

 

Azam berkata, bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran meningkat 3.55 peratus.

“Bilangan yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua mata pelajaran ialah 92,347 calon pada 2025 berbanding 86,040 pada 2024 manakala 141,728 calon memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 136,791 pada 2024,” katanya.

“Bilangan yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua mata pelajaran ialah 92,347 calon pada 2025 berbanding 86,040 pada 2024 manakala 141,728 calon memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 136,791 pada 2024,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN