Dengan mengambil kira kesan ekonomi akibat daripada perang yang sedang berlaku di Timur Tengah, kerajaan perlu mengambil segala langkah yang perlu supaya kehidupan rakyat Malaysia tidak terjejas teruk akibat daripada perang ini khususnya dalam kalangan para pelajar.
Umum telah pun ketahui, perang yang sedang berlaku ini telah menyebabkan harga minyak dunia berada dalam keadaan tidak menentu yang boleh memberi kesan ke atas harga barangan dan perkhidmatan.
Kita harus melindungi kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan para pelajar secara khususnya.
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian untuk para pelajar.
Proses pembelajaran secara dalam talian ini dapat menjimatkan lebih banyak kos sekaligus dapat mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan harian para pelajar.
Proses pembelajaran secara dalam talian dapat menjimatkan kos kewangan dan perbelanjaan semua pihak termasuk para pelajar. Dengan melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian, para pelajar sekolah tidak perlu lagi
membazirkan wang mereka untuk bergerak ke sekolah setiap hari dan pulang semula ke rumah mereka dengan menaiki kenderaan awam seperti bas atau van sekolah, membelanjakan wang mereka untuk membeli makanan di kantin atau di kedai – kedai makanan dan pelbagai jenis perbelanjaan sampingan lagi.
Bagi pelajar universiti pula, mereka juga tidak perlu lagi membazir wang untuk menyewa rumah – rumah sewa berdekatan dengan universiti, mereka juga tidak perlu lagi membazirkan wang mereka untuk menyewa atau membeli pelbagai jenis kenderaan semata – mata untuk ke dewan kuliah, dan mereka juga tidak perlu lagi membelanja wang mereka untuk membeli makanan harian.
Sekiranya aktiviti pembelajaran dilakukan secara dalam talian sama ada diperingkat sekolah ataupun di peringkat universiti, banyak proses penjimatan wang dapat dilakukan sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan pelajar.
Sekiranya proses pembelajaran ini tidak sesuai dilakukan sepenuhnya setiap hari, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian ini secara hibrid atau mengikut hari – hari tertentu setiap minggu. –UTUSAN
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya, Fakulti Syariah Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










