JOHOR BAHRU: Sejumlah 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat yang diterima semula untuk menyertai parti itu di bawah gagasan ‘Rumah Bangsa’ perlu menunjukkan keikhlasan mereka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kesediaan parti menerima mereka semula tanpa sebarang syarat perlu dibalas dengan bersama-sama memperjuangkan parti menuju pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata, keputusan sebulat suara MKT UMNO menerima kesemuanya juga tidak menunjukkan parti lemah atau terdesak.
“Tidaklah (UMNO nampak lemah), tujuannya adalah untuk menyatukan ummah di bawah gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Ia bertujuan menguatkan lagi kedudukan Melayu di bawah payung UMNO. Sebab UMNO adalah parti yang dianggotai ramai individu dan tak ada satu individu yang lebih daripada individu lain. Jadi, mereka yang masuk balik kena jujur, sebabnya kita tak tahu keikhlasan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Pickleball Amal di 91 Pickleball Clubhouse, Skudai, di sini hari ini.
Semalam, MKT UMNO membuat keputusan menerima kembali Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Syed Hamid Albar bersama bekas pimpinan dan ahli di pelbagai peringkat di bawah gagasan ‘Rumah Bangsa’.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melalui kenyataan media berkata, langkah itu merupakan sebahagian sokongan terhadap gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang pernah digantung, dipecat, atau keluar parti sebelum ini.
Nur Jazlan yang juga Timbalan Yang dipertua Dewan Rakyat berkata, rakyat kini sudah bertambah yakin terhadap perjuangan UMNO yang dipercayai akan kembali diterima rakyat Malaysia.
“Sekarang ini, saya anggap UMNO semakin diyakini, rakyat juga percaya bahawa UMNO boleh kembali. Soalnya, dalam memilih pemimpin di negara kita ini, siapa pemimpin yang rakyat mahu itu tak semestinya pemimpin yang UMNO mahukan,” katanya. – UTUSAN










