Akademi lahirkan jaguh tenis muda

Akademi lahirkan jaguh tenis muda

Patrick Mouratoglou (duduk) menjawab pertanyaan pelajar akademinya sempena pelancaran Akademi Mouratoglou di Kolej Epsom, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua kanak-kanak lelaki kelihatan lincah mengejar dan memukul bola tenis di gelanggang tenis Akademi Mouratoglou, Kolej Epsom, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Biar pun masih kecil, cara bermain yang ditampilkan tampak profesional.

Mereka adalah antara lebih 40 pelajar lelaki dan perempuan pelbagai negara dari kolej Epsom, berusia tujuh hingga 17 tahun yang menyertai latihan tenis di Akademi Mouratoglou Malaysia (MAM) yang dibina di kolej berkenaan pada tahun 2022.

Akademi Mouratoglou diasaskan oleh Patrick Mouratoglou, jurulatih terkemuka dunia yang melatih pemain tenis terkenal, Serena Williams dan memilih Epsom College Malaysia sebagai hab untuk tenis dan sekolah di Asia bagi melahirkan pemain tenis profesional.

Patrick yang berkunjung ke akademi itu, baru-baru ini berkata, kerjasama akademinya itu dengan pihak kolej adalah atas dasar keyakinan bahawa atlet muda tidak sepatutnya perlu memilih antara sukan dan pendidikan.

“Keteguhan akademik Epsom, tradisi asrama dan sokongan pastoral yang kuat menyediakan persekitaran yang mampu mengekalkan kedua-dua cita-cita secara sama rata. Akademi dan Epsom menawarkan suasana holistik supaya atlet dapat bersaing, belajar dan berkembang sebagai pemimpin, disokong oleh komuniti yang menghargai prestasi, kesejahteraan dan perwatakan dalam ukuran yang sama.

“Sejak kami memulakan program ini pada 1996, sekolah sangat penting bagi kami. Kami tidak gentar untuk bersaing, kerana kami tahu apa yang kami mampu lakukan. Kami tidak akan berlebih kurang dengan kualiti, itu sebabnya kami mahu berikan yang terbaik untuk kanak-kanak ini dan menyediakan semua keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran akademi dan inisiatif biasiswa berjumlah RM1 juta bagi menyokong pemain yang berpotensi di seluruh rantau ini dan mengukuhkan laluan Malaysia ke arah Sukan SEA 2027.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan Johan Van Herck, bekas kapten Piala Davis Belgium, sebagai Pengarah Teknikal Akademi yang baharu.

Kata beliau secara amnya, sukan dan pertandingan memupuk disiplin dalam diri kanak-kanak selain membina jati diri apabila berdepan dengan kegusaran. Kanak-kanak yang aktif bersukan, mampu bertindak balas dalam situasi sukar dan belajar daripada kekalahan.

Ia lebih hebat berbanding hanya memberitahu anak yang mereka perlu menjadi kuat ketika berdepan sebarang masalah. Sukan mengajar mereka berdepan cabaran setiap hari dan belajar daripada kesilapan.

“Memang hebat jika ia boleh diamalkan dalam kehidupan. Itu sebabnya saya menggabungkan pendidikan dan sukan. Ini adalah perkara terbaik boleh dilakukan ke atas anak-anak kita.

“Apabila mereka menamatkan pengajian, terdapat perbezaan dengan mereka yang tidak bersukan. Kita juga mahu anak-anak memiliki nilai tersendiri, jadi kita didik mereka dengan nilai baik.

Dalam sukan, nilai baik ini perlu diamalkan setiap hari kerana sukan memaksa anda untuk melakukannya,” katanya.

Katanya ibu bapa perlu memberikan galakan kepada anak untuk menceburi sukan tetapi lebih penting adalah minat yang akan mendorong mereka melakukan yang terbaik.

Ia bukan sekadar bakat tetapi adalah kemahiran mengawal mental dan tingkah laku yang perlu dipupuk dalam kalangan kanak-kanak.
Semua kualiti ini, membolehkan mereka mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Sukan mendidik kanak-kanak untuk lebih fokus dalam pembelajaran walaupun tidak berada dalam gelanggang.
Gelanggang tenis Mouratoglou

Mouratoglou berkata, dalam usaha menghasilkan juara tenis akan datang, akademi itu menerapkan kaedah latihan yang sama digunakan dalam akademinya yang terletak di Paris mahu pun di Dubai.

“Cara kami berbeza dengan akademi lain berdasarkan rekod kami. Kami pilih jurulatih yang berkualiti, Yohan sudah bekerja lama dengan kami dan kini bertanggungjawab di sini, dalam melahirkan pemain muda ke profesional dalam rantau ini.

“Program tenis di sekolah pada 2022 bermula dengan sembilan kanak-kanak yang dilatih oleh tiga jurulatih dan kini ada 42 pemain dengan 11 jurulatih. Pelajar berterusan datang dari Australia,

Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Asia lain dan kami mula melihat hasilnya,” katanya.

Katanya, aktiviti di akademi itu mencerminkan ekosistem yang semakin berkembang. Ia merangkumi 24 kejohanan setiap tahun, termasuk Pusingan Asia Tenggara Gred A Asian Federation Tennis (ATF) Junior U14 yang diadakan di gelanggang yang diperakui International Tennis Federation (ITF) Epsom.

Sementara itu, Pengetua Sekolah, Avis Parker berkata, antara sebab pelajar datang ke kolej tersebut kerana di samping menekankan bidang akademik, mereka boleh belajar bermain tenis, bola sepak atau golf.

“Kami mahu memastikan keseimbangan kurikulum dalam akademi dan tenis. Pelajar yang melaksanakan 20 jam seminggu, bukan bererti ia menekan mereka. Kami perlu menentukan kaedah bagi menyokong mereka dalam akademi dan mencari ruang di mana mereka boleh menjalani latihan. Kami juga memastikan mereka mempelajari subjek utama dan subjek yang diminati.

Bangga mewakili negara

 

Akil Adibi Rahiman,16, adalah antara pemain yang dilahirkan Akademi Mouratoglu dan sudah mewakili negara dalam beberapa kejohanan tenis di peringkat antarabangsa.

“Saya melanjutkan pengajian di Epsom sejak Februari 2024 kerana mahu menyertai akademi ini. Di sini, akademi dan tenis berjalan seiring dan seimbang. Cara akademi menjalankan latihan adalah secara holistik antara pendidikan dan sukan.

“Pada masa ini saya sedang belajar untuk peperiksaan Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE) dan ada beberapa subjek yang saya tidak ambil. Jadi masa itu diisi dengan menjalankan sesi latihan tenis.

Aqil Adibi Rahiman yang bermain tenis sejak berusia sembilan tahun, berharap dapat melanjutkan latihan di kolej tenis di luar negara bagi mengapai impian bergelar pemain profesional suatu hari nanti.

Sementara itu, Ammara Yasmin Y, 14, juga antara pemain tenis yang dilahirkan akademi ini.

“Di akademi ini akan dijalankan pelbagai kejohanan tenis Universal Tennis Rating (UTR) bagi meningkatkan rating setiap pemain. Saya akan masuk tiga lagi kejohanan bagi meningkatkan lagi rating ini. Nilai ini lagi tinggi lagi bagus. Nilai tertinggi adalah 16.5 bagi pemain nombor satu dunia.

“Satu setengah tahun lagi, saya bermain dalam pertandingan Wimbledon. Ia memberi pengalaman yang menyeronokkan di mana boleh tengok pemain dan jurulatih yang disegani.” katanya.

Anak kelahiran England ini mengakui berminat dengan tenis dan mahu melanjutkan pengajian di kolej Amerika Syarikat. Bermain tenis sejak usia enam tahun selepas sering melihat atlet seperti Serena Williams bermain tenis.

 

“Sebagai pemain, anda perlu ada personaliti yang kuat dan tidak mudah dijatuhkan orang lain. Apabila ada pertandingan, sekolah memberi masa mengulang kaji supaya tidak ketinggalan dalam akademik. Latihan dijalankan pukul7 hingga 8 pagi, latihan tenis pada waktu petang, pukul 5.30 hingga 7.30 petang,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN