PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Seri Paduka bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Justeru, baginda bertitah dan menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
“Tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara ini. Beta akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda yang dipetik daripada Facebook Royal Press Office (RPO) semalam.
Ketika ini jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM disandang oleh Tan Sri Azam Baki.
Bagaimanapun kontraknya dijadualkan tamat pada 12 Mei ini selain beberapa nama dikatakan diteliti sebagai pengganti.
Azam mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Azam sudah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, dan 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.
Jawatan Azam menjadi perhatian umum kerana SPRM menjadi badan penguatkuasaan utama negara dalam pembanterasan rasuah dan pemulihan aset negara hilang akibat penyelewengan.
Sementara itu, Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim berkata, sebarang keputusan berhubung pelantikan atau penyambungan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dibuat berasaskan integriti, rekod prestasi serta keyakinan awam, bukan dipengaruhi tekanan politik atau persepsi semata-mata.
Menurutnya, pelantikan jawatan tertinggi dalam SPRM tidak membabitkan individu semata-mata, sebaliknya melibatkan kredibiliti institusi dalam memastikan badan penguatkuasaan itu terus berfungsi secara bebas dan berkesan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan kemungkinan tidak disambung kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Seperti yang dizahirkan dalam kenyataan rasmi Istana Negara, pelantikan ini adalah satu jawatan yang amat penting dalam memastikan SPRM terus berfungsi secara berkesan dan bebas dan tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak
“Sehubungan itu, sebarang keputusan untuk tidak menyambung kontrak atau membuat pelantikan baharu mesti berasaskan integriti, rekod prestasi dan keyakinan awam, bukannya tekanan politik atau persepsi semata-mata,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN










