KERAJAAN Pahang memantau rapat perkembangan semasa membabitkan seramai 257 pelajar negeri ini yang sedang melanjutkan pengajian di Asia Barat susulan konflik ketenteraan melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini keadaan pelajar Malaysia termasuk dari Pahang di negara terlibat masih berada dalam keadaan terkawal berdasarkan maklumat yang diterima daripada kedutaan Malaysia.
Menurut beliau, berdasarkan rekod Dermasiswa negeri bagi tahun 2025, seramai 257 pelajar Pahang sedang menuntut di tiga negara iaitu 121 orang di Mesir, 119 orang di Jordan dan 17 orang di Maghribi.
“Penghantaran pelajar ke universiti terkemuka di Asia Barat ini diuruskan oleh Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP) bagi memastikan mereka menerima pendidikan berkualiti serta sokongan berterusan sepanjang tempoh pengajian,” katanya.
Wan Rosdy berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada wakil kedutaan Malaysia termasuk di Jordan yang memaklumkan situasi keselamatan di negara berkenaan masih stabil dan terkawal.
“Insya-Allah kita doakan keadaan terus tenang dan kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar di sana,” ujarnya. -UTUSAN










