PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan terhadap empat individu yang mengeluarkan kenyataan mencetuskan provokasi berunsur agama serta perkauman telah selesai dan akan didakwa di mahkamah majistret secara berasingan, esok.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk secara berasingan ke Pejabat Peguam Negara serta Pengarah Pendakwaan Negeri selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, antara inidvidu yang terlibat ialah Zamri Vinoth yang akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Menurutnya, Zamri Vinoth akan didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan mengenai penganjuran perhimpunan di perkarangan Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu.
“Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau
kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Selain itu, Tamim Dahri akan didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung tindakan merosakkan solem suci di Tapak Lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi, Kedah.
Manakala Mahendra Bhoopathy Pirmal akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan D. Arumugam di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mempunyai maklumat risikan bahawa Tamim Dahari dipercayai telah ke luar negara dan kini berada di negara jiran.
“Kita menerima maklumat risikan yang menunjukkan beliau telah ke luar negara iaitu ke negara jiran, Thailand. Namun, lokasi sebenar beliau setakat ini masih belum dapat dipastikan dan maklumat lanjut sedang diperoleh,” katanya.
Tambahnya, pihaknya bersedia untuk bekerjasama secara berterusan dengan negara jiran bagi memastikan individu terbabit dapat dibawa pulang ke Malaysia dan didakwa.
Sementara itu, bagi Zamri pula pihak polis mempunyai maklumat awal mengenai pergerakannya dan dipercayai masih berada dalam negara. – UTUSAN










