Dua beradik yang kehilangan lima ahli keluarga dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat Raub baru-baru ini, bakal dijadikan anak angkat Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pengerusi YPM, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib menimpa Ruby Adalia Balqis,19, dan adiknya, Ahmad Balia Muqram,15 yang kini bergelar yatim piatu.

Menurut beliau, sebaik sahaja menerima khabar duka tersebut, pihaknya bergegas ke Hospital Raub bagi menziarahi kedua-dua beradik berkenaan.
“Berat ujian buat mereka. Saya sendiri bertemu Ruby yang kini menuntut di Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang serta adiknya, Balia, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Dong.
“ Hati saya amat pilu melihat keadaan mereka, namun saya titipkan kata-kata semangat agar terus kuat meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raub, bau-baru ini.
Tragedi kebakaran itu meragut nyawa lima sekeluarga iaitu bapa Mohd. Alawi Mohammad, 57, ibu Zaleha Ibrahim,45, Ruby Adira Batrisya,18, Ruby Adlina Banin,14, dan Ruby Azyan Barizah,10,.
Ismail berkata, salam dan kata semangat turut disampaikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang menghubungi Ruby dan adiknya menerusi panggilan video.
Katanya, MARA dan YPM bersepakat untuk mengambil Ruby serta Balia sebagai anak angkat demi memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan mereka terus terpelihara.
“Insya-Allah, Ruby dan Ahmad Balia akan dijadikan anak angkat Mara dan Pengerusi Mara sendiri berbesar hati untuk menjadikan mereka anak angkat beliau.
“Menjadi tanggungjawab Mara dan YPM untuk memastikan mereka dapat meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi memastikan kesinambungan pendidikan, pihaknya juga akan menawarkan tempat kepada Ahmad Balia untuk menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) apabila melangkah ke Tingkatan Empat kelak.
Tambahnya, kedua-dua beradik itu dikenal pasti sebagai pelajar cemerlang dan berpotensi besar untuk berjaya sekiranya diberi sokongan sewajarnya.
“Kita tidak mahu tragedi ini mematahkan semangat mereka. Pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah nasib dan membina masa depan lebih cerah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Orang ramai turut diseru agar bersama-sama mendoakan kekuatan buat Ruby dan Ahmad Balia dalam menempuh ujian berat ini. –UTUSAN










