Victor Chin perlu jawab perbelanjaan lebih RM300j semasa jadi COO NexG

Victor Chin perlu jawab perbelanjaan lebih RM300j semasa jadi COO NexG

MOHAMAD REEDUAN MUSTAPHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) NexG Bhd., Victor Chin Boon Long perlu tampil memberikan penjelasan kepada pemegang saham firma itu mengenai perbelanjaan RM303.7 juta semasa beliau berada dalam tempoh beberapa keputusan pelaburan utama dibuat.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Dr. Mohamad Reeduan Mustapha berkata, dari sudut amalan tadbir urus korporat yang baik, adalah wajar untuk pihak pengurusan terlibat pada ketika itu tampil memberikan penjelasan yang jelas, profesional dan berasaskan fakta.

Katanya, penjelasan ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk memastikan ketelusan maklumat kepada semua pemegang kepentingan.

”Keputusan yang melibatkan jumlah besar seperti RM303.7 juta tidak boleh dikategorikan sebagai keputusan operasi harian. Sebaliknya, ia merupakan keputusan strategik yang lazimnya melibatkan perancangan jangka panjang, analisis risiko menyeluruh serta pertimbangan terhadap hala tuju syarikat.

”Dalam kebanyakan organisasi, keputusan sebegini melibatkan pengurusan kanan, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai operasi (COO) serta pasukan kewangan, di samping melalui proses kelulusan yang ketat di peringkat lembaga pengarah dan jawatankuasa audit,” katanya hari ini.

Laporan The Edge Malaysia pada 19 Mac lalu berhubung perbelanjaan berjumlah RM303.7 juta oleh NexG Bhd antara November 2024 hingga September 2025 telah mencetuskan persoalan serius mengenai amalan tadbir urus korporat syarikat tersebut.

Perbelanjaan yang dilaporkan melibatkan pemerolehan syarikat keselamatan siber bernilai RM40 juta, pembelian saham dalam MMAG Holdings Bhd serta NexG Bina Bhd berjumlah kira-kira RM164.8 juta, selain pemberian pinjaman sebanyak RM98.9 juta melalui cabang pinjaman syarikat.

Apa yang membimbangkan, kata Mohamad Reeduan, sebahagian daripada pelaburan tersebut didakwa tidak selari dengan perniagaan teras NexG, manakala aktiviti pinjaman pula dilihat sebagai sesuatu yang baharu dan tidak pernah menjadi fokus syarikat sebelum ini.

Dalam konteks ini, katanya, persoalan utama yang timbul ialah apakah rasional strategik di sebalik keputusan perbelanjaan tersebut dan sejauh mana ia memberi nilai tambah kepada syarikat serta pemegang saham.

Lebih penting, jelasnya, isu ini tidak boleh dilihat sebagai sekadar perbezaan pandangan dalam lembaga pengarah, sebaliknya menyentuh asas kepada kepercayaan pelabur terhadap integriti dan ketelusan sesebuah syarikat tersenarai awam.

Namun begitu, katanya, adalah penting ditegaskan bahawa dalam sistem tadbir urus korporat yang berfungsi dengan baik, keputusan strategik tidak bergantung kepada seorang individu sahaja. Ia merupakan hasil daripada pertimbangan kolektif melibatkan pelbagai lapisan struktur tadbir urus syarikat.

”Lembaga pengarah memainkan peranan utama dalam memastikan setiap keputusan pelaburan adalah selari dengan kepentingan syarikat, manakala jawatankuasa audit pula bertanggungjawab menilai aspek pematuhan, risiko dan integriti kewangan,” katanya.

Katanya, dari sudut prinsip tadbir urus yang baik, mana-mana pihak yang terlibat dalam keputusan strategik syarikat pada masa lalu, termasuk pengurusan kanan, digalakkan untuk menyokong usaha ketelusan melalui penjelasan yang jelas, profesional dan melalui saluran yang sesuai.

Ini termasuk kenyataan rasmi syarikat, pembentangan kepada pemegang saham atau laporan tambahan yang boleh membantu menjelaskan konteks keputusan yang telah dibuat.

Dalam masa sama, katanya, syarikat juga perlu memainkan peranan proaktif dengan memastikan semua pendedahan maklumat dibuat secara konsisten, tepat dan mudah difahami. Ini penting bagi memastikan semua pemegang saham, termasuk pelabur runcit, mempunyai akses kepada maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan yang rasional.

“Fokus utama dalam isu ini bukanlah kepada individu tertentu, tetapi kepada memastikan bahawa prinsip ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan kepentingan pemegang saham sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan syarikat tersenarai awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN