Veteran ATM menyinar melalui program Usahawan Wira LTAT

Veteran ATM menyinar melalui program Usahawan Wira LTAT

KOPERAL Udara Wanita (B) Sharmila (kiri) dan Staf Sarjan (B) Norazlina masing-masing menyediakan perkhidmatan katering dari rumah serta sate di Bazar Ramadan pada bulan puasa ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebuah sudut di Selangor, dua wanita yang pernah menyarung uniform pertahanan negara kini menyarung apron dengan semangat yang sama, berdisiplin, tekun dan rasa tanggungjawab yang tidak pernah luntur.

Melalui Program Pemerkasaan Usahawan Wira oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”), mereka membuktikan bahawa khidmat bakti tidak pernah benar-benar berakhir, ia hanya mengambil bentuk yang baharu.

Staf Sarjan (B) Norazlina Md Noor dibesarkan di Sentul menyertai Tentera Darat Malaysia di bawah Jabatan Arah Semboyan. Setelah bersara pada Jun 2023 sebagai seorang kerani, beliau berdepan fasa peralihan yang menuntut keberanian berbeza, daripada dunia ketenteraan ke dunia keusahawanan.

Beliau mengambil alih perniagaan sate ayahnya, bukan sekadar mewarisi resipi, tetapi meneruskan legasi keluarga. Namun permulaannya tidak mudah. Ada hari pelanggan tidak kunjung tiba, dan pendapatan bulanan sering kali berada di bawah RM5,000.

Penyertaan beliau dalam Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT menjadi titik perubahan yang signifikan. Melalui bimbingan berstruktur merangkumi analisis pelanggan, perancangan operasi serta strategi pemasaran digital, Norazlina mula melihat perniagaannya dengan perspektif yang lebih strategik.

Beliau berjaya mendapatkan tempahan korporat secara konsisten, memindahkan lokasi perniagaan ke kawasan yang lebih strategik serta memanfaatkan media sosial untuk meluaskan capaian pasaran.

“Sebelum saya sertai kursus ini, pendapatan bulanan saya kurang daripada RM5,000. Setelah menyertai, anggaran dalam RM10,000. Kalau masa musim perayaan, lebih daripada RM15,000 ke atas sebab kami menerima tempahan setiap hari daripada pelanggan,” ujarnya.

Bagi Koperal Udara Wanita (B) Sharmila Nasir pula yang berniaga katering dan makanan sejuk beku, beliau hanya menjana sekitar RM500 sebulan.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia serta ibu kepada lima anak ini mula berniaga dari rumah pada 2011 dengan menerima tempahan daripada jiran dan kenalan.

Tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa membataskan ruang untuk mengembangkan perniagaan, manakala aspek penjenamaan dan pemasaran masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Namun di sebalik kesederhanaan itu, tersimpan disiplin dan daya tahan seorang bekas anggota tentera.

Melalui program ini, Sharmila mempelajari cara mengenal pasti segmen pasaran lebih khusus. Beliau menumpukan ibu bapa yang mempunyai anak di universiti dan sekolah asrama yang memerlukan makanan sedia dimakan yang praktikal dan tahan lama.

Hasilnya, beliau memperkenalkan hidangan seperti Ayam Masak Bali dan Daging Masak Hitam dalam pembungkusan yang lebih kemas dan sesuai untuk perjalanan jauh.

Pendapatannya meningkat secara berperingkat antara RM2,000 hingga RM3,000 dalam masa empat bulan, dan kini purata sekitar RM5,500 sebulan.

Lebih daripada peningkatan angka, beliau menghargai sokongan dan bimbingan yang diterima, satu suntikan semangat yang mengukuhkan keyakinan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN