Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh komitmennya untuk menjadi institusi strategik negara apabila menggariskan agenda transformasi bagi memastikan universiti itu terus relevan dan berimpak dalam pembangunan negara.
Pengerusi Lembaga Pengarah UPM yang baharu, Datuk Seri Jailani Johari berkata, universiti tidak boleh lagi bergantung kepada kejayaan silam, sebaliknya perlu bergerak lebih pantas, strategik dan berani dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Menurut beliau, universiti perlu memainkan peranan lebih besar sebagai pemacu penyelesaian nasional, pemangkin ekonomi masa depan serta pembina tamadun masyarakat melalui ilmu, penyelidikan dan inovasi.
“Universiti bukan sekadar pusat ilmu, tetapi institusi amanah awam yang mempunyai tanggungjawab besar kepada negara. Penyelidikan, inovasi dan kepakaran universiti mesti memberi impak nyata kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam Bengkel Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Suku Keempat UPM yang diadakan di Serdang baru-baru ini.
Beliau berkata, UPM perlu berfungsi sebagai hab sinergi strategik yang menghubungkan industri, komuniti dan rakan global dalam satu ekosistem ilmu yang mampu menghasilkan penyelesaian kepada cabaran negara dan dunia.
Menurutnya, tempoh tiga tahun akan datang sehingga 2029 merupakan fasa kritikal bagi menentukan hala tuju masa depan universiti.
“UPM mempunyai sejarah kecemerlangan yang kukuh dalam bidang pertanian, sains dan teknologi. Namun dalam landskap dunia yang semakin mencabar, kita tidak boleh lagi bernostalgia dengan kejayaan lalu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggariskan enam agenda transformasi utama UPM menjelang 2029 yang merangkumi pengukuhan peranan universiti dalam keterjaminan makanan dan agroteknologi, pemerkasaan kualiti akademik serta kerjasama industri termasuk TVET, serta pembangunan ekosistem halal dan bioteknologi, pengantarabangsaan serta penyelidikan berimpak, pengukuhan tadbir urus dan kemampanan kewangan universiti, serta kesejahteraan warga universiti dan penglibatan alumni sebagai rakan strategik institusi.
Beliau berkata, agenda transformasi tersebut juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan negara melalui penyelidikan berimpak, penghasilan graduan yang bersedia menghadapi masa hadapan serta pengukuhan kerjasama strategik antara akademia, industri dan komuniti bagi memperkukuh daya saing negara di peringkat global.
Beliau menambah bahawa menjelang tahun 2029, UPM menyasarkan untuk muncul sebagai peneraju keterjaminan makanan negara, hab rujukan ekosistem industri halal dan bioteknologi serantau serta menjadi universiti berimpak global yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara dan masyarakat.
Tema amanat tersebut, “Mentransformasi Ilmu, Membina Negara Bangsa,” turut menegaskan peranan universiti dalam memastikan ilmu dan penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar kepada cabaran negara berpaksikan konsep ilmu untuk masyarakat dan impak untuk negara.
Amanat dan agenda transformasi ini juga selari dengan kerangka True North UPM yang sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Beliau yakin dengan kepimpinan universiti serta komitmen seluruh warga UPM, institusi itu mampu memperkukuh kedudukannya sebagai universiti strategik negara yang memainkan peranan penting dalam membina masa depan Malaysia. –UTUSAN









