UKM tubuh majlis penasihat industri global, perkukuh kebolehpasaran graduan - Utusan Malaysia

UKM tubuh majlis penasihat industri global, perkukuh kebolehpasaran graduan

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh (tujuh dari kiri) bersama Ahli panel pada Majlis Pertemuan dan Pembentangan Bersama Majlis Penasihat Industri Antarabangsa UKM (IIAC) di sebuah hotel kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Majlis Penasihat Industri Antarabangsa UKM (IIAC) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri di peringkat nasional serta global.

Penubuhan IIAC dilihat sebagai usaha proaktif UKM dalam memastikan sistem pendidikan tinggi kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa yang semakin dinamik.

Lebih menarik, IIAC menghimpunkan seramai 16 tokoh terkemuka daripada pelbagai organisasi global melibatkan kepakaran dalam bidang teknologi, kejuruteraan, sains data, ekonomi, kewangan, pendidikan serta pembangunan mampan.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, IIAC berfungsi sebagai platform penting dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri global.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan universiti sentiasa responsif terhadap perubahan keperluan pasaran pekerjaan dan perkembangan teknologi semasa.

“IIAC berfungsi sebagai jambatan antara universiti dan industri bagi memastikan kurikulum, penyelidikan serta latihan pelajar sentiasa relevan dengan keperluan pasaran global.

“Ia juga membuka peluang kepada kolaborasi strategik dalam penyelidikan, pengkomersialan dan pembangunan bakat,” katanya pada sidang media selepas sesi pertama majlis itu, di sini kelmarin.

Sufian berkata, penubuhan IIAC merupakan yang pertama di UKM.

Beliau berkata, majlis itu menghimpunkan pakar antarabangsa bagi memberikan input secara langsung terhadap Pelan Strategik 2026–2030 universiti berkenaan.

“Fokus kami bukan sahaja kepada pengukuhan penyelidikan dan pendidikan, tetapi juga pembangunan modal insan yang berdaya tahan.

“Kami turut memberi penekanan kepada pendigitalan serta memastikan universiti kekal mampan dari segi kewangan dalam jangka panjang,” katanya.

Tambah Sufian, penubuhan majlis tersebut selaras dengan kerangka dasar kerajaan menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.

Katanya, dasar itu memberi penekanan kepada pengukuhan kerjasama industri dan akademia, peningkatan kebolehpasaran graduan serta pembangunan bakat berteraskan inovasi.

Beliau berkata, inisiatif tersebut mencerminkan peranan UKM dalam menyokong aspirasi nasional ke arah membina ekosistem pendidikan yang berdaya tahan.

“Ia juga sejajar dengan keperluan ekonomi global yang pesat berubah dan semakin mencabar.

“IIAC akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh misi UKM untuk memantapkan ekosistem pendidikan tinggi negara melalui jaringan industri, inovasi dan pembangunan bakat global. Ia juga menyokong kerangka strategik universiti, TEKAD 57 UKM 2026–2030, serta

Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs),” ujarnya.

Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh (tengah) bersama Dr. Roberto Echandi (kiri) dan Rina Neoh.

Dalam masa sama, Sufian menjelaskan peranan IIAC berbeza dengan kerjasama memorandum persefahaman (MoU) sedia ada.

Katanya, jika MoU biasanya dilaksanakan di peringkat fakulti atau institusi, IIAC berfungsi di peringkat universiti secara menyeluruh.

“Ia membolehkan kita mendapatkan pandangan terus daripada pakar global yang boleh dihubungi pada bila-bila masa.

“Ini sekali gus menyokong aktiviti penyelidikan dan pengajaran universiti secara berterusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sufian berkata, universiti perlu menyesuaikan diri dengan realiti baharu termasuk pengurangan pergantungan kepada sumber pembiayaan daripada kerajaan.

Katanya, keperluan untuk memanfaatkan inovasi secara komersial kini menjadi semakin mendesak.

“Universiti tidak boleh bergantung semata-mata kepada pembiayaan kerajaan.

“Kita perlu meneroka aliran pendapatan baharu melalui pengkomersialan harta intelek serta inisiatif pembiayaan alternatif,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Roberto Echandi dari Bank Dunia yang juga merupakan ahli IIAC berkata, peranan universiti dalam ekosistem ekonomi global semakin penting.

“Melalui kolaborasi strategik seperti ini, kita dapat meningkatkan daya saing negara, memacu inovasi dan memastikan graduan bersedia untuk pasaran antarabangsa.

“Majlis ini juga akan menyumbang kepada pembangunan pelajar dan kebolehpasaran graduan melalui perluasan peluang latihan industri, mobiliti antarabangsa serta penyelidikan bersama dengan organisasi multinasional,” jelasnya.

Tambah Dr Roberto, inisiatif ini menunjukkan kepimpinan Malaysia yang semakin berkembang dalam memupuk dialog akademik dan dasar global ketika kepesatan perubahan teknologi dan dinamika geopolitik.

“Dalam persekitaran globalisasi hari ini, universiti perlu bekerjasama rapat dengan industri dan pembuat dasar untuk mendepani gangguan teknologi dan transformasi ekonomi.

“Malaysia telah mencatat kemajuan luar biasa sepanjang beberapa dekad lepas, dan inisiatif seperti ini menunjukkan kekuatan kepimpinan dalam membina kerjasama global yang inklusif,” katanya.

Seorang lagi ahli IIAC, Rina Neoh berkata, inisiatif yang digerakkan UKM berpotensi menjadi pemangkin penting dalam memperluas pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, situasi ini membuka peluang kepada Malaysia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi dan sosial.

Katanya, Malaysia kini bukan lagi sekadar penerima teknologi, sebaliknya mula berkembang sebagai pemain serantau dan global.

“Malaysia kini berada pada tahap di mana ia bukan sahaja belajar daripada pihak lain, tetapi juga mempunyai banyak perkara untuk dikongsi dengan dunia.

“Universiti pula memainkan peranan penting sebagai pusat intelektual yang mewakili kekuatan pemikiran sesebuah masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, peluang tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, malah kepada komuniti antarabangsa yang ingin memahami model pembangunan negara ini.

“Ramai pihak luar berminat untuk belajar daripada kejayaan Malaysia, termasuk dalam aspek pembangunan ekonomi, sosial serta keupayaan mengurus kepelbagaian budaya secara harmoni.

“Itu adalah sesuatu yang amat diperlukan dalam dunia hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN