Tiga lelaki menyamar sebagai polis ditahan

Tiga lelaki menyamar sebagai polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Taktik tiga lelaki menyamar sebagai anggota polis membawa padah apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini pada Ahad.

Semua suspek itu ditahan pada pukul 12.15 tengah malam selepas anggota PGA melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua MyVi yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah farmasi.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas salah seorang daripada suspek telah menjumpai sepucuk pistol tiruan jenis Air Sport Series bersama lanyard yang diselit di bahagian pinggang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan Perodua Myvi yang digunakan suspek menemukan beberapa barangan dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai pihak berkuasa.

“Antara barangan yang dirampas ialah kad pemegang berlambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), tanda nama PDRM, pelekat NCID serta sarung pistol bertulis PDRM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, selain peralatan penyamaran, polis turut merampas dua biji pil yaba, air ketum, sebilah parang, sarung tangan getah serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan suspek.

Katanya, kesemua suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

“Pada masa sama, pemeriksaan turut dilakukan terhadap sebuah lagi kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback, namun tiada barangan menyalahi undang-undang ditemui di dalam kenderaan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 89 Akta Polis 1967, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Ahmad Radzi berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk dua kenderaan, pistol tiruan dan pelbagai peralatan lain dianggarkan berjumlah RM31,018.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN