KOTA BHARU: Cubaan tiga lelaki menyeludup satu tan metrik beras putih import dari negara jiran gagal apabila lori yang dinaiki mereka dikejar kira-kira 15 kilometer sebelum dipintas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Kampung Lundang Paku, Ketereh, dekat sini semalam.
Tangkapan dan rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Landai/Op Taring Kontraband pada pukul 3 petang.
Komander PPM Wilayah Tiga, Pemangku Asisten Komisioner Mohd. Khairuddin Jamal@Zainan berkata, terdahulu pihaknya mengesan lori yang berada dalam keadaan mencurigakan di bulatan Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat.
Katanya, anggota bertugas kemudian mengekori lori berkenaan sejauh kira-kira 15 kilometer (km) sebelum memintas dan menahannya kenderaan itu di bahu jalan Kampung Lundang Paku.
“Pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan sebanyak 1,000 kilogram (kg) beras putih import yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran tanpa dokumen sah.
“Tiga lelaki tempatan berusia antara 20 tahun hingga 39 tahun yang berada di dalam lori itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, semakan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kelantan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










