Tidak tergesa berlumba hasilkan lagu raya - Jamal Abdillah - Utusan Malaysia

Tidak tergesa berlumba hasilkan lagu raya – Jamal Abdillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Musim perayaan sering dikaitkan dengan kemunculan deretan lagu raya baharu, namun bagi legenda muzik tanah air, Datuk Jamal Abdillah, dia tidak tergesa-gesa untuk menyertai perlumbaan tersebut.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan gelaran Raja Pop itu, tahun ini dia belum menghasilkan sebarang lagu raya baharu, berbeza dengan dua tahun sebelumnya yang menyaksikan kemunculan karya istimewa untuk peminat.

“Tahun ini saya tidak ada menghasilkan lagu raya baharu. Tahun lepas dan dua tahun lepas ada juga. Malah tahun lepas arwah Aisyah Tan yang buatkan. Tetapi tahun ini belum ada lagi.

“Sekarang ini artis-artis memang berlumba-lumba buat lagu raya. Bagi saya itu bagus kerana ia memeriahkan lagi industri. Bila musim perayaan, memang banyak lagu raya akan keluar. Terpulang kepada lagu itu sendiri, kalau bagus ia akan dikenali dan menjadi popular,” jelasnya.

Sebagai penyanyi yang sudah puluhan tahun dalam industri, Jamal mengakui sangat teliti dalam memilih lagu, khususnya apabila menerima demo daripada komposer.

Menurutnya, perkara pertama yang dinilai adalah melodi.

“Kadang-kadang ada juga orang hantar material atau demo lagu raya kepada saya. Tetapi saya akan nilai dulu sama ada lagu itu boleh menjadi popular atau tidak. Kebanyakannya saya terpaksa tolak.

“Biasanya bila dengar lagu baharu, saya minta muzik dimatikan dahulu. Saya mahu dengar melodi sahaja. Kalau melodi itu kuat, barulah kita fikirkan yang lain,” ujarnya.

Jamal berkata pendekatan tersebut sebenarnya dipelajari daripada komposer terkenal, Datuk Ramli MS atau lebih dikenali sebagai Tok Ram.

“Tok Ram pernah beritahu, kalau dapat lagu, nilai dulu sama ada lagu itu boleh ‘boom’ atau tidak. Kalau tidak, jangan buat kerana hanya buang masa,” katanya.

Menariknya, Jamal mendedahkan sebahagian lagu popular yang pernah dirakamkan olehnya sebenarnya lahir daripada kisah hidup sendiri.

Antaranya termasuk lagu Berdendang Dalam Tangisan yang dihasilkan oleh komposer legenda, Datuk M. Nasir.

“Lagu itu saya sendiri yang minta beliau buatkan. Begitu juga lagu Cinta Selayang Pandang. Saya ceritakan kisah seorang lelaki pemalu yang meminati seorang wanita tetapi tidak berani meluahkan perasaan.

“Dia hanya memandang dari jauh sehingga cinta itu berlalu. Daripada cerita itu lahirlah lagu tersebut,” katanya.

Lagu klasik tetap jadi permintaan

Walaupun banyak lagu baharu muncul saban tahun, beberapa lagu klasik Jamal tetap menjadi pilihan peminat setiap kali beliau membuat persembahan.

Antara yang paling kerap diminta ialah lagu Azura dan Kekasih Awal Akhir.

“Lagu Azura saya nyanyikan sejak 1983, manakala Kekasih Awal Akhir sekitar awal tahun 2000. Lagu-lagu ini memang wajib dinyanyikan setiap kali persembahan.

“Sudah ribuan kali saya menyanyikannya. Kadang-kadang memang terasa bosan, tetapi kerana itu permintaan peminat, kita tetap penuhi,” katanya sambil tersenyum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN