KUALA LUMPUR: Komposer dan penulis lirik, Aepul Roza, 37, berpendapat pencipta kandungan tidak boleh bersikap acuh tak acuh terhadap isu hak cipta dan pemilikan lagu dengan sewenang-wenangnya menukar versi asal lagu ciptaan komposer lain kepada versi baharu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (A.I).
Menurut Aepul atau Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, tindakan itu jelas menyalahi undang-undang, justeru pelaku perlu ditegah dan diberi kesedaran berkenaan harta intelek.
“Sebagai pengkarya, saya perlu beri kesedaran kepada masyarakat agar kemudahan A.I ini digunakan dengan rasa bertanggungjawab.
“Kita rujuka situasi tersebut dengan isu lagu Cinta Tersimpul Rapi versi A.I yang dikatakan lebih sedap didengar berbanding versi asal. Mungkin bagi pendengar sekarang versi A.I lebih sedap kerana sesuai dengan citarasa muzik mereka.
“Tetapi pencipta kandungan, Jane In Heaven didesak menurunkan lagu itu di media sosialnya dan semua platform penstriman digital kerana tidak mendapat kebenaran pencipta asal untuk menggunakan lagu berkenaan. Saya tahu dia tidak berniat mencuri karya orang lain, cuma mungkin dia kurang cakna tentang pemilikan hak cipta.
“Dalam versi apa sekalipun, kita tidak boleh menidakkan hak cipta yang dimiliki komposer dan penulis asal lagu berkenaan. Saya ingin tegaskan, guna A.I tidak salah, tapi tolong hormat dan jangan curi hak orang lain,” katanya pada Majlis Iftar Geng Drama Band di Astana Putra, Serdang.
Vokalis kumpulan Drama Band itu mengulas tentang isu membabitkan Jane In Heaven yang baru-baru ini terpaksa menurunkan lagu dipopularkan Anis Suraya itu dari semua platform digital kerana menyalahi Akta Hak Cipta 1987.
Aepul dalam masa yang sama menggalakkan komposer atau pencipta kandungan (muzik) di negara ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi A.I sebagai pemudah cara menghasilkan lagu dengan syarat teknologi itu digunakan secara berhemah.
“Proses penghasilan lagu bukan mudah. Saya contohnya, melalui perubahan semasa, bermula zaman cetakan cakera padat sebelum beralih kepada zaman nada dering dan kemudian bertukar kepada era penstriman digital.
“Tapi sekarang ini zaman A.I. Sesiapa sahaja boleh mencipta lagu semudah di hujung jari.
“Jadi pencipta lagu di negara ini tidak boleh ketinggalan, harus ikut perkembangan semasa. Kita tidak boleh bersikap sombong terhadap perubahan terknologi,” katanya lagi. – UTUSAN










