KUALA LUMPUR: Ketiadaan sijil nikah rasmi membabitkan pasangan Ahmad Aslam dan Marissa Dania Hakim menyebabkan proses perundangan yang sedang dihadapi menjadi sedikit rumit.
Peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad berkata, perkara itu berpunca daripada perkahwinan pasangan tersebut yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, sekali gus menyebabkan proses pendaftaran di negara ini masih belum selesai.
Menurut beliau, situasi berkenaan merupakan antara cabaran utama bagi pasangan yang memilih untuk bernikah di luar negara.
“Apabila bernikah di Thailand, inilah cabaran yang perlu dihadapi. Untuk memfailkan sebarang kes selepas pengesahan nikah, kita perlu mempunyai sijil pernikahan.
“Dalam kes ini, kita memfailkan pengesahan lafaz tanpa sijil nikah. Oleh itu, kita memohon salinan sah daftar daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membolehkan kes difailkan segera untuk menentukan status sebenar mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ammar turut menasihatkan golongan lelaki supaya lebih berani dan telus dalam menguruskan hal perkahwinan, khususnya yang melibatkan poligami, bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.
“Nasihat saya, jika mahu berkahwin, lakukan dengan cara yang betul. Lelaki perlu bersikap gentleman dengan hadir ke mahkamah dan mematuhi prosedur ditetapkan.
“Mahkamah tidaklah sukar sekiranya kita mempunyai bukti serta keterangan yang mencukupi.
“Masalah akan timbul apabila perkahwinan cuba disembunyikan daripada isteri pertama dan tidak mengikut undang-undang. Keadaan itu akhirnya menyukarkan proses serta memanjangkan tempoh perundangan,” ujarnya.
Terdahulu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah bagi menghadiri prosiding lafaz cerai dan rujuk.
Difahamkan, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah, masing-masing pada tahun 2024 dan 2025, sebelum melakukan lafaz rujuk pada tahun yang sama.
Pada 27 Mei, Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan status nikah Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid di Songkhla.










