Tiada niat persenda agama, tajuk ‘Malaikat Malam’ sekadar metafora – Pengarah - Utusan Malaysia

Tiada niat persenda agama, tajuk ‘Malaikat Malam’ sekadar metafora – Pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Malaikat Malam, Nazifdin Nasrudin menjelaskan pemilihan tajuk filem tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur keagamaan secara literal, sebaliknya hanya berbentuk alegori dan metafora dalam penceritaan.

Menurut beliau, perkataan ‘malaikat’ yang digunakan merujuk kepada simbolik cahaya dan harapan yang dibawa oleh dua watak utama, Azam dan Ratna dalam mendepani kemelut hidup masing-masing.

“Sejujurnya, penggunaan perkataan itu dalam filem ini langsung tidak menyentuh konteks agama. Ia hanyalah metafora kepada satu objek penting dalam skrip yang hanya akan difahami selepas penonton menyaksikan karya ini.

“Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya penggunaan tajuk tersebut menyinggung mana-mana pihak. Namun, saya ingin menegaskan bahawa ia digunakan dengan penuh kepekaan dan pertimbangan moral, bukannya untuk tujuan provokasi,” katanya.

Nazifdin yang mesra disapa Bujoq ditemui media ketika majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Mengulas dakwaan seorang pendakwah yang mendakwa tajuk itu seolah-olah mengangkat golongan ‘mat rempit’ sebagai malaikat sekiranya meninggal dunia, Nazifdin menyifatkan tafsiran tersebut sebagai terpesong daripada konteks sebenar.

Tegas penulis skrip filem pecah panggung Sheriff: Narko Integriti itu, beliau sengaja memilih judul yang lebih lembut dan puitis bagi memberikan kelainan kepada genre filem permotoran yang lazimnya sinonim dengan tajuk berunsur aksi dan kasar.

“Saya boleh sahaja menamakan cerita ini sebagai KL Rempit atau sebagainya, tetapi filem ini mempunyai sisi yang lebih lembut.

“Malah, penonton akan melihat sendiri soal kifarah atau pembalasan di penghujung cerita. Ia bukan sekadar mengenai perlumbaan, tetapi berkisar tentang kesedaran diri dan impak daripada setiap tindakan yang diambil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nazifdin mengakui tidak tertekan dengan polemik yang timbul, sebaliknya menganggap perkara tersebut sebagai sebahagian daripada proses kematangan buat dirinya sebagai pengarah muda.

Terdahulu, seorang pendakwah mempersoalkan penggunaan perkataan “malaikat” sebagai tajuk filem kerana dianggap tidak sepadan dengan jalan cerita yang berkisarkan tentang mat rempit.

Filem Malaikat Malam terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions itu menampilkan gandingan Syafiq Kyle bersama pelakon berpengalaman Que Haidar dan dijangka ditayangkan di pawagam bermula 26 Mac ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN