PETALING JAYA: Sesi persekolahan di seluruh negara berjalan seperti biasa dan tiada sebarang ketetapan dibuat berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, keutamaan Kementerian Pendidikan adalah untuk memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, di samping aspek kebajikan serta kesejahteraan semua pihak terus diberi perhatian.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga prihatin terhadap kegusaran yang dibangkitkan masyarakat susulan penularan berita mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR.
“Kementerian prihatin terhadap semua kegusaran yang dibangkitkan masyarakat berhubung berita yang tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR.
“Pada masa ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan pelaksanaan PdPR.
“Keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, selain memastikan aspek kebajikan serta kesejahteraan semua pihak sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.-UTUSAN










