PUTRAJAYA: Tempoh permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2026/2027 bagi Fasa Permohonan Lepasan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui UPUOnline® kini dilanjutkan kepada 12 April depan berbanding tarikh tutup asal iaitu 23 Mac.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, bagaimanapun tarikh tutup permohonan bagi Fasa Pertama Lepasan STPM/Setaraf kekal pada 23 Mac depan.
“Bagi calon-calon Lepasan SPM yang masih belum membuat permohonan, pembelian No. Pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum mengemukakan permohonan dengan harga RM 10.60.
“Kaedah bayaran No. Pin UPUOnline® di BSN adalah melalui 387 Kaunter Cawangan BSN, 843 Automatic Teller Machine
(ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN,” katanya hari ini.
Katanya, BSN akan mengeluarkan No.Pin UPUOnline® beserta salinan resit pembayaran.
“Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan. Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi,” katanya.
Untuk rekod, terdapat sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,146 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi.
“Semua calon dinasihatkan agar melengkapkan permohonan lebih awal dan tidak menunggu hingga saat-saat akhir bagi mengelakkan sebarang gangguan atau kesesakan trafik pada sistem UPUOnline®.
“Selain itu, pastikan permohonan telah disahkan dengan menekan butang ‘Saya Setuju’ dan slip permohonan
dicetak atau dimuat turun sebagai rujukan serta bukti bahawa permohonan telah berjaya dihantar,” katanya. – UTUSAN










