Pelakon Aprena Manrose mengakui, sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang sedikit berbeza buat dirinya apabila bakal meraikan hari lebaran tanpa pasangan selepas melalui episod perpisahan dalam rumah tangganya sebelum ini.
Menurut Aprena, 33, pengalaman beraya seorang bukanlah sesuatu yang benar-benar baharu kerana tahun lalu dia sudah melalui situasi hampir sama, namun pada ketika itu perpisahan tersebut belum lagi dimuktamadkan sepenuhnya.
“Alhamdulillah sebenarnya bukan pertama kali saya beraya seorang. Tahun lepas pun saya sudah beraya seorang juga. Jadi tahun lepas itu macam ‘practice’ untuk raya seorang. Cuma masa itu belum sah lagi, tapi kami memang sudah berasingan. Tahun ini barulah betul-betul raya seorang.
“Kalau nak kata sedih sangat itu tidaklah. Cuma memang ada rasa beza sebab sebelum ini kita ada keluarga di sebelah sana juga. Tapi sekarang saya lebih fokus kepada keluarga saya sendiri dan Alhamdulillah semuanya okey,” katanya.
Tambah pelakon drama popular itu lagi, walaupun beraya tanpa pasangan, dia tetap bersyukur kerana masih ditemani ahli keluarga terdekat khususnya bapanya.
“Alhamdulillah saya ada papa bersama saya. Tahun lepas kami beraya di Indonesia, tetapi tahun ini papa merancang untuk beraya di Kuala Lumpur. Jadi kami akan beraya di Kuala Selangor dahulu, kemudian ada perancangan dengan keluarga seperti Uqasha Senrose dan Nelly Senrose. Raya kedua pula mungkin kami akan ke Kelantan.
“Kalau dahulu semasa bergelar isteri, rutin raya memang kena bahagi masa untuk dua-dua belah keluarga. Sekarang saya boleh fokus lebih kepada keluarga saya sendiri. Lepas beraya dengan keluarga terdekat, barulah kami pergi melawat rumah makcik-makcik dan pakcik-pakcik di sebelah keluarga saya pula,” jelasnya.
Dalam kesibukan membuat persiapan raya, Aprena turut membantu bapanya menyiapkan sebuah projek istimewa iaitu lagu raya berjudul Lebaran Datang Lagi.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama dia terlibat secara langsung membantu bapanya menghasilkan muzik video bagi lagu tersebut.
“Ini kali pertama saya tolong papa buat muzik video dia secara teliti. Sebelum ini lagu-lagu papa semuanya dia rekod sendiri sahaja. Kali ini dia minta tolong saya. Pada mulanya dia kata nak guna telefon sahaja untuk rakam, tapi saya cakap tak naklah, kita buat betul-betul.
“Sebab itu saya tanya di media sosial kalau ada yang boleh buat muzik video secara last minute. Dalam video itu papa mahu semua pakai baju putih. Dia kata raya tahun ini kita pakai putih. Jadi saya pun bantu cari team production, lokasi dan tambah sedikit idea walaupun storyline sebenarnya papa yang fikirkan,” katanya.
Lebih menarik, muzik video tersebut turut menampilkan seluruh ahli keluarganya termasuk adik-beradik Aprena sendiri.
“Dalam muzik video itu nanti akan ada papa, saya, abang saya dan adik-adik saya juga. Malah suara adik-adik saya pun ada dalam lagu tersebut. Kami akan shoot dalam masa terdekat dan kalau sempat, papa memang mahu keluarkan lagu itu sebelum raya,” ujarnya.










