KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 melibatkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, agihan itu lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi 2024.
Katanya, ia mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik, sekali gus terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi simpanan Islam utama di Malaysia.
“Agihan keuntungan tersebut ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit, kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).
“Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995, selepas penyata kewangan TH bagi 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara,” katanya semasa Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji di sini hari ini.
Sejak penubuhannya 62 tahun lalu, TH telah mengagihkan sebanyak RM49.0 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendeposit. – UTUSAN










