Syarikat didenda RM25,000 miliki diesel tanpa permit - Utusan Malaysia

Syarikat didenda RM25,000 miliki diesel tanpa permit

SYARIKAT Great Tunnel Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Kee Soon Ngeit didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah kerana memiliki 2,439 liter minyak diesel tanpa permit, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembinaan parit dan paip didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 2,439 liter minyak diesel tanpa permit, tiga tahun lalu.

Syarikat Great Tunnel Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Kee Soon Ngeit, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah turut memerintahkan agar wang hasil jualan barang rampasan minyak diesel bernilai RM5,731.65 dan 16 tong plastik dilucut hak kepada kerajaan selain lori dikembalikan kepada pemilik, Jernih Spektrum Sdn.Bhd.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didapati telah ada dalam milikannya barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dengan jumlah keseluruhan 2,439 liter yang disimpan di dalam 16 tong di dalam sebuah lori.

Keadaan itu boleh menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu, berurusan dengan minyak diesel berkenaan secara runcit.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam stor simpanan diesel dalam kawasan penyelenggaraan bahan binaan tanpa nombor, Lebuh Pengkalan Barat 12, Taman Pengkalan Pertama di dalam daerah Kinta pada pukul 2.30 petang, 6 Julai 2023.

Pertuduhan terhadap syarikat berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua atau kesalahan berulang didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Nazreen Zabarudin manakala syarikat berkenaan tidak diwakili peguam.

Syarikat tersebut membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN