PETALING JAYA: Sunway Berhad tampil mempertahankan cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad susulan kebimbangan pelabur terhadap aspek pembiayaan, penilaian dan struktur tawaran tersebut.
Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, tawaran pengambilalihan secara sukarela berkenaan dirangka bagi memberi nilai segera kepada pemegang saham IJM, di samping membolehkan mereka terus menikmati potensi pertumbuhan jangka panjang melalui penyertaan ekuiti.
Katanya, komponen tunai sebanyak 10 peratus dalam tawaran itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan sumber dalaman syarikat, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia akan bergantung kepada kunci kira-kira IJM untuk melaksanakan transaksi tersebut.
“Sunway mempunyai lebih RM6 bilion rizab tunai berbanding IJM yang memiliki kira-kira RM2 bilion tunai tetapi menanggung pinjaman melebihi RM6 bilion,” katanya semasa sidang media di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Jeffrey mengunjurkan nilai pemodalan pasaran bersama IJM mampu melonjak sehingga RM50 bilion.
“Walaupun secara teori nilai gabungan kedua-dua entiti gergasi itu adalah sekitar RM45 bilion, saya yakin kekuatan jenama dan pengurusan Sunway akan memacu nilai tersebut ke tahap yang lebih tinggi melangkaui jangkaan pasaran.
“Saya yakin pemegang saham IJM akan mendapat manfaat daripada penggabungan ini. Fokus utama kami sebaik sahaja proses ini selesai adalah untuk memenangi hati kakitangan IJM agar mereka selesa beralih ke bawah naungan Sunway,” katanya.
Mengulas struktur tawaran yang merangkumi 90 peratus komponen saham, Pengerusi Bersama Bukan Eksekutif Sunway Group, Datuk Sri Idris Jala berkata, kebimbangan pelabur tidak mengambil kira prestasi jangka panjangnya yang lebih kukuh berbanding IJM.
“Sepanjang tempoh 10 tahun lalu, Sunway mencatat pulangan keseluruhan pemegang saham kira-kira 387 peratus, berbanding penyusutan sekitar sembilan peratus bagi IJM dalam tempoh sama.
“Ini bermakna pelaburan RM1,000 dalam saham Sunway pada 2015 berkembang hampir kepada RM4,000 menjelang 2025, manakala pelaburan sama dalam IJM hanya bernilai sekitar RM900,” katanya.
Dalam pada itu, Sunway berkata, tawaran berasaskan saham tersebut memberi peluang kepada pemegang saham IJM untuk “menyusun semula” pelaburan mereka ke dalam platform yang mempunyai rekod prestasi kukuh.
Syarikat itu turut menyentuh penilaian intrinsik IJM yang melebihi RM5 sesaham seperti dinyatakan penasihat bebas, namun menegaskan realisasi nilai tersebut bergantung kepada pelaksanaan strategi serta keadaan pasaran semasa.
Berdasarkan pandangan penganalisis, harga sasaran IJM setakat 25 Mac 2026 berada dalam julat RM2.60 hingga RM3.84, lebih hampir kepada harga pasaran semasa.
Dalam konteks itu, tawaran Sunway dilihat memberi premium kira-kira 32 peratus kepada harga saham IJM, selain mengekalkan potensi kenaikan nilai pada masa hadapan.
IJM sebelum ini menggariskan beberapa inisiatif membuka nilai termasuk cadangan penyenaraian aset lebuh raya dan anak syarikat lain, namun Sunway berpandangan kejayaan pelaksanaan pelan tersebut bergantung kepada pelbagai faktor seperti keadaan pasaran dan minat pelabur.
Tambahnya, sebahagian aset lebuh raya IJM ketika ini mencatat kerugian, yang boleh menjejaskan usaha penyenaraian pada penilaian menarik.
Menurut Sunway, langkah pengambilalihan itu dijangka mewujudkan sinergi operasi termasuk kecekapan kos, pengoptimuman perolehan serta peningkatan margin, di samping memperkukuh keupayaan dalam segmen infrastruktur dan kejuruteraan.
Selain itu, skala dan kekuatan kewangan yang lebih besar dijangka meningkatkan akses kepada pembiayaan serta membolehkan kumpulan gabungan meneroka projek lebih besar dan kompleks, selari peningkatan pelaburan infrastruktur dan aliran masuk modal asing.
Pemegang saham IJM mempunyai pilihan sehingga tarikh tutup pada 6 April 2026 untuk menerima atau menolak tawaran itu. –UTUSAN











