KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya berlaku ketidakadilan susulan pelaksanaan subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan disifatkan tidak tepat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan tidak pernah memutuskan bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Sebaliknya, menurut beliau, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat selaras dengan dasar reformasi subsidi kerajaan.
“Penyasaran subsidi ini merupakan pembaharuan besar yang memerlukan perancangan teliti serta pelaksanaan secara berfasa.
“Pada 2024, kerajaan memulakan langkah tersebut dengan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, manakala pada 2025 pula melibatkan subsidi petrol RON95 di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, Kementerian Kewangan kini sedang meneliti kerangka pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan sebelum dibincangkan bersama kerajaan negeri terlibat.
Katanya, subsidi diesel akan terus diberikan, namun melalui kaedah lebih bersasar bagi mengurangkan ketirisan termasuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan.
“Pelaksanaan ini akan mengambil kira model sedia ada seperti BUDI95, BUDI MADANI, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), selain menyesuaikan dengan faktor tempatan serta pandangan pihak berkepentingan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan penyasaran di Sabah, Sarawak dan Labuan ditangguhkan ke fasa seterusnya bagi mengambil kira keunikan setempat termasuk kebergantungan tinggi terhadap diesel, faktor geografi serta jurang harga barangan asas.
Tambahnya, kos logistik yang tinggi akibat penghantaran barangan melalui laut dari Semenanjung turut menjadi faktor utama kerajaan mengekalkan subsidi diesel di wilayah berkenaan buat masa ini.
“Sebagai contoh, kos pengangkutan barangan ke Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi berbanding beberapa kawasan perdagangan utama di rantau ini seperti China dan India, sekali gus menyumbang kepada perbezaan harga barangan di pasaran,” katanya. – UTUSAN











