PUTRAJAYA: Berita baik buat lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) apabila kerajaan bersetuju mengagihkan bantuan Fasa 2 STR itu secara berperingkat mulai esok.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan bersetuju membuat agihan awal bagi memudahkan penerima STR membuat persiapan Aidilfitri.
“Kita awalkan bayarannya, STR Fasa 2 sebelum ini sepatutnya dibayar bulan April 2026 tetapi kita awalkan kerana kita nak sambut bulan Ramadan dan Aidilfitri.
“Jadi kita awalkan kepada 10 Mac 2026 membabitkan RM1.3 bilion,” katanya.
Kerajaan sebelum ini turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 15 ke bawah yang akan mula disalurkan pada 13 Mac ini selain pegawai lantikan kontrak.
Selain itu, pesara kerajaan, veteran dan veteran tidak berpencen ATM juga akan mendapat bantuan sebanyak RM250.
Dalam pada itu, lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta takmir akan menerima BKK sebanyak RM500 selain imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.










