Stesen minyak di Pattani, Narathiwat hadkan jualan bahan bakar - Utusan Malaysia

Stesen minyak di Pattani, Narathiwat hadkan jualan bahan bakar

ORANG ramai membeli petrol di salah sebuah stesen minyak di Bandar Narathiwat, Thailand. – UTUSAN/RAZALI ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI (THAILAND): Stesen minyak di Pattani dan Narathiwat di sini mula mengehadkan pembelian petrol dan diesel kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu bagi mengelakkan kekurangan bekalan bahan bakar.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati langkah tersebut diambil susulan krisis Asia Barat antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel yang menyebabkan harga bahan bakar meningkat mendadak, sekali gus mencetuskan peningkatan permintaan.

Seorang penduduk, Suhaibah, berkata ketika ini terdapat stesen minyak yang mula mengehadkan pembelian kepada tidak melebihi RM85.12 sehari bagi setiap kenderaan empat roda seperti kereta, van dan trak pikap.

Katanya, bagi kenderaan enam roda dan ke atas pula, pembelian dihadkan kepada tidak melebihi RM364.41 bagi setiap kenderaan sehari.

“Pengguna juga tidak dibenarkan mengisi minyak ke dalam tong atau gelen kecuali bagi petani atau pengusaha, dengan had tidak melebihi RM364.41 sehari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Suhaibah berkata, langkah itu berkemungkinan menjadi ‘isyarat’ bahawa Thailand mungkin berdepan krisis kekurangan minyak selepas ini.

Sementara itu, tinjauan di stesen minyak sekitar Narathiwat mendapati langkah sama turut diambil bagi mengelakkan kekurangan bekalan bahan bakar.

Seorang pekerja stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Shadiya berkata, arahan tersebut dikeluarkan oleh pemilik stesen sejak beberapa hari lalu susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini.

Katanya, bagaimanapun pengguna masih boleh membuat pembelian bahan bakar bagi semua jenis kenderaan.

“Kalau datang beli minyak untuk diisi dalam tong 100 atau 200 liter, kami tidak jual,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shadiya berkata bekalan bahan bakar berkurangan selepas orang ramai membuat pembelian panik sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, bekalan petrol dan diesel di beberapa stesen minyak di sekitar bandar ini masih mencukupi.

“Hari ini stesen minyak kami kehabisan petrol 95. Ini disebabkan bekalan dari depoh simpanan di Wilayah Songkhla lambat tiba.

“Insya-Allah bekalan akan tiba esok. Harga macam biasa, tiada kenaikan mendadak,” ujarnya.

Terdahulu, tular kandungan video yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok yang memaparkan sebuah stesen minyak di Wilayah Satun mengehadkan pembelian kepada RM60.73 bagi kereta manakala motosikal RM6.07.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN