WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berkata, ia telah mengarahkan semua kakitangan tidak kritikal meninggalkan Bahrain, Jordan dan Iraq ketika Iran membalas serangan AS–Israel.
Jabatan itu, dalam hantaran di platform X, memaklumkan bahawa nasihat perjalanan bagi Bahrain dan Jordan telah dikemas kini bagi mencerminkan arahan berlepas untuk kakitangan kerajaan AS yang tidak kritikal serta ahli keluarga masing-masing.
Dalam hantaran berasingan, jabatan tersebut berkata nasihat perjalanan bagi Iraq turut dikemas kini untuk menyatakan bahawa pada Isnin ia telah mengarahkan kakitangan kerajaan AS yang tidak kritikal meninggalkan negara tersebut atas kebimbangan keselamatan.
Ia tidak menyebut mengenai ahli keluarga mereka.
Perang yang semakin memuncak itu bermula pada Sabtu selepas serangan bersama AS–Israel ke atas Iran yang menurut Teheran telah membunuh ratusan orang awam dan Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, sehingga mencetuskan serangan balas.
Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam menyasarkan sebuah pangkalan udara AS di Bahrain, menurut kenyataan pasukan elit itu yang disiarkan pada Selasa oleh agensi berita rasmi, Islamic Republic News Agency (IRNA).
Di Iraq, ratusan penunjuk perasaan di ibu negara Baghdad, kebanyakannya berpakaian hitam, cuba menyerbu Zon Hijau yang dikawal ketat.
Ia menempatkan lokasi Kedutaan AS pada Ahad selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Iran itu.
Di Jordan, Kedutaan AS di ibu negara Amman berkata pada Isnin bahawa ia telah memindahkan kakitangannya buat sementara waktu susulan ancaman yang tidak diperincikan.
Kerajaan Jordan turut menyatakan bahawa ia telah memintas lebih sedozen peluru berpandu sejak Iran memulakan serangan balas pada Sabtu. – AGENSI










