SPRM siasat isu tawaran pengambilan saham IJM oleh Sunway

SPRM siasat isu tawaran pengambilan saham IJM oleh Sunway

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat isu tawaran pengambilan saham oleh Sunway Bhd ke atas IJM Corporation Berhad (IJM), yang kini dalam proses rundingan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang melihat sama ada tawaran pengambilan saham itu wujud elemen rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran tatakelola.

Beliau berkata, banyak perkara yang dilihat dalam tawaran pengambilan saham itu kerana pemegang saham IJM terdiri daripada syarikat milik kerajaan.

“Di sini menjadi satu persoalan kepada kami kerana ia melibatkan wang rakyat. Kita akan tengok adakah berlaku sebarang jenayah, ketirisan atau pelanggaran tatakelola,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan terkait isu penyelewengan IJM termasuk yang terbaharu isu tawaran saham oleh Sunway itu.

Azam berkata, kertas siasatan pertama membabitkan kes penggubahan wang berjumlah sekitar RM2.5 bilion yang dilaburkan di United Kingdom (UK).

“Kami sedang bekerjasama dengan negara berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada mereka,” katanya.

Katanya, bagi kertas siasatan kedua pula, ia membabitkan satu projek dijalankan syarikat itu dimana beliau menjangkakan ia memakan masa siasatan yang panjang.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta timbalan ketua pengarah dan bekas pegawai kanan jabatan itu.

Menurutnya, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan bagi mendakwa tiga individu itu dijangka dapat diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

“Selepas seminggu dari hari ini, saya anggap akan ada keputusan tarikh pendakwaan mereka di mahkamah.
Namun, keputusan terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan sama ada boleh dituduh ataupun tidak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah JAS dan timbalannya ditahan di bawah Akta SPRM 2009 kerana disyaki terbabit rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste), yang disiasat sejak awal tahun ini.

Dalam operasi berkaitan, sebanyak 16 akaun bank dibekukan dengan nilai kira-kira RM10.2 juta, selain wang tunai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 turut disita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN