PUTRAJAYA: Dua kertas siasatan telah dibuka susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan bagi menyiasat isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan.
Beliau berkata, siasatan telah dimulakan dan pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada UKM bagi melengkapkan siasatan.
“Siasatan memfokuskan kepada isu program pengambilan pelajar melalui koperasi tanpa dikesan tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah dan isu tuntutan palsu oleh ejen pengambilan pelajar.
“Buat masa ini, kita belum memanggil mana-mana individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, hasil penelitian mendapati kedua-dua isu itu dilaporkan berlaku kira-kira empat tahun lalu.
LKAN 1/2026 mendedahkan berlaku ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024.
Laporan itu menyebut, kutipan hasil yuran keseluruhan pelajar bagi program SPEND dan DPLI berjumlah RM60.77 juta namun, UKM hanya merekodkan kutipan RM2.43 juta, manakala RM50.74 juta pula dikutip melalui koperasi selain RM7.60 juta masih belum diterima.
Laporan itu juga mendedahkan kutipan yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta itu tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan. Audit mendapati turut wujud konflik kepentingan apabila lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam koperasi berkenaan. – UTUSAN










