IPOH: Kerajaan Perak memperuntukkan caruman sebanyak RM50 secara one-off kepada 1,979 ibu tunggal di negeri ini melalui Skim i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM98,950.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, caruman itu bertujuan membuka akaun Skim i-Suri kepada semua ibu tunggal yang tersenarai dalam data e-Kasih daripada kategori miskin dan miskin tegar.
“Sebagai usaha menghargai serta memberikan perlindungan sosial kepada wanita bergelar ibu tunggal, kerajaan negeri bersetuju untuk mencarum secara one-off sebanyak RM50 bagi membuka akaun Skim i-Suri.
“Melalui inisiatif ini, penerima akan menerima insentif caruman sebanyak 50 peratus daripada jumlah simpanan, manakala waris juga layak menerima insentif khairat kematian berjumlah RM2,500,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak 2026, di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, usaha itu diharap memberi peluang kepada penerima yang bekerja sendiri untuk mencarum secara sukarela dan menikmati insentif kerajaan sekali gus menjamin masa depan lebih terjamin pada hari tua.
“Pendekatan ini diambil bagi memastikan wanita yang memerlukan perlindungan, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan, dapat membuat perlindungan diri tanpa terbeban dengan kos.
“Justeru, melalui usaha ini, saya mengambil pendekatan memperuntukkan sedikit dana daripada bajet di bawah portfolio saya bagi membantu ibu tunggal,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Sambutan Hari Wanita peringkat negeri yang disambut hari ini, Salbiah berkata, program berkenaan menampilkan dua slot utama, termasuk sesi perkongsian ilmu kepada wanita yang hadir bagi memperkasa pengetahuan dan kemahiran mereka.
“Walaupun Sambutan Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac, Perak mengambil pendekatan dengan mengadakan program lebih awal.
“Selain acara utama hari ini, sambutan peringkat negeri turut merangkumi pelbagai pengisian di daerah-daerah lain yang dianjurkan oleh Sekretariat Wanita, dengan tujuan memastikan enam aspek teras utama di bawah Sekretariat Wanita dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN










