KUALA LUMPUR: Pihak polis dan pihak berkuasa lain perlu meletakkan keutamaan ke atas siasatan membabitkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long dan isterinya, Chan Swee Ying dan menghadapkan kedua-dua mereka ke muka pengadilan bagi menjawab pendakwaan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, dakwaan yang dibangkitkan termasuk kenyataan oleh pihak berkepentingan dan perhatian yang diberikan oleh media tempatan serta antarabangsa, bukan sahaja menyentuh integriti sektor korporat, malah turut memberi kesan langsung kepada imej negara, keyakinan pelabur, serta tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau berpandangan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberikan keutamaan tinggi terhadap siasatan kes ini secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh.
“MCW menegaskan bahawa sekiranya terdapat asas bukti yang mencukupi, tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah hendaklah diambil tanpa sebarang kelewatan.
“Dalam masa yang sama, prinsip keadilan mesti dipelihara, tiada individu boleh dihukum melalui persepsi awam atau tekanan media tanpa proses undang-undang yang sah dan telus,” katanya hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menggelarkan Victor Chin sebagai ‘syaitan korporat’ dan mendakwa beliau telah melakukan banyak kesalahan dan turut mempertikaikan bagaimana Chan Swee Ying mendapatkan dana sebanyak RM88 juta untuk membelli 9.53 peratus kepentingan atau 220 juta saham MMAG.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan pihak berkuasa sedang menjejaki Victor Chin, yang menjadi tumpuan susulan dakwaan sindiket pengambilalihan paksa syarikat menerusi pakatan kerana pihak berkuasa mengetahui lokasi Chin, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, memaklumkan Chin berada di luar negara dan pihak berkuasa sedang menjejakinya dengan kerjasama pihak berkuasa antarabangsa.
Dalam pada itu, Jais berkata, sekiranya siasatan mendapati wujud risiko gangguan terhadap saksi, bukti atau kemungkinan melarikan diri, pihak berkuasa digesa mempertimbangkan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Teganya, isu ini tidak boleh dilihat sebagai pertikaian korporat semata-mata kerana ia menyentuh aspek lebih besar iaitu tadbir urus, integriti pasaran modal, serta kredibiliti sistem penguatkuasaan negara.
Kata beliau, sebarang persepsi mengenai kewujudan ‘mafia korporat’ atau campur tangan luar dalam proses undang-undang, jika tidak ditangani dengan tegas, boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat global.
“Justeru, MCW menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, namun dalam masa sama memastikan tiada sebarang kelewatan atau layanan istimewa diberikan kepada mana-mana pihak.
“Prinsipnya jelas, sesiapa yang terlibat mesti disiasat dan jika bukti mencukupi, mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN











